PEMAIN kebangsaan, Safawi Rasid dan penyerang import, Ismaheel Akinade antara sembilan pemain yang digugurkan oleh Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi musim baharu Liga Malaysia bermula bulan depan.
Turut tidak disambung kontrak adalah Mohamad Hakim Hassan, Muhammad Syafik Ismail dan Muhammad Syaiful Haqim Shahrul selain Manuel Ott, Ivan Mamut, Nelson Bonilla dan Argzim Redzovic.
Bagi mengisi kekosongan tersebut, TFC akan membawa masuk tujuh pemain baharu terdiri dua pemain tempatan serta lima import yang nama-nama mereka akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, TFC telah memperbaharui kontrak pemain import tengah dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov yang beraksi cemerlang musim lalu.
Pengendali pasukan, Badrul Afzan Razali berkata, beliau dan barisan kejurulatihan telah pun menyenaraikan beberapa pemain yang dilihat mampu memberi impak kepada pasukan TFC musim ini.
Katanya, perkara itu telah di bawa ke dalam rundingan Jawatankuasa Teknikal Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dan telah pun diluluskan untuk penawaran dan negosiasi.
“Persiapan akhir perpindahan beberapa pemain import yang akan mengisi kekosongan di bahagian pertahanan, tengah dan juga serangan telah mencapai persetujuan kedua-dua pihak.
“Proses melengkapkan dokumen serta urusan logisitik ke Malaysia sedang dilakukan seterusnya melakukan ujian kecergasan dan perubatan sebelum memeterai perjanjian kontrak professional,” katanya menerusi laman web rasmi TFC, hari ini.
Sementara itu, TFC turut mengekalkan khidmat Azam Azmi Murad sebagai pemain pinjaman dari pasukan Johor Darul Ta’zim bagi saingan musim baharu ini.
Manakala berita perpindahan Akhyar Rashid ke kelab DPMM FC pula, TFC mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada kelab berpangkalan di Brunei Darussalam itu.
Pemain utama TFC itu masih kekal di dalam perancangan Badrul Afzan bagi mengharungi ini manakala dan kontraknya pula berbaki sehingga 2027. — Edisi 9

