Sunday, June 14, 2026

RM300 juta diperuntuk untuk modenisasi sektor perikanan – Zahid

Sebanyak RM150 juta diperuntuk bagi Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan unrtuk menaik taraf vesel dan memperkenalkan automasi dalam industri perikanan.

Mesti Baca

KERAJAAN memperuntukkan sejumlah RM300 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memperkasa sektor perikanan negara, dengan penekanan terhadap pembangunan komuniti nelayan B40 serta kelestarian sumber laut negara.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan (JPT-PPN) yang turut membincangkan hala tuju dasar serta pelaksanaan inisiatif baharu dalam sektor perikanan.

Menurut beliau, daripada jumlabh itu, sebanyak RM150 juta diperuntuk bagi Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan unrtuk menaik taraf vesel dan memperkenalkan automasi dalam industri perikanan.

Manakala RM150 juta lagi bagi Skim Geran Padanan untuk penggantian pukat tunda dan bot lama kepada kaedah tangkapan yang lebih mesra alam dan lestari.

“Skim ini akan menyokong transformasi industri ke arah yang lebih moden dan berdaya tahan, di samping memelihara kelangsungan sumber marin negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam usaha memperluaskan peluang ekonomi kepada golongan nelayan tidak berlesen, Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut melaksanakan Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (TEMAN-AKUA) yang akan memberi tumpuan kepada negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis.

Kata beliau, projek tersebut melibatkan aktiviti ternakan kerang dan kupang, dilaksanakan dalam empat fasa bermula 2025 hingga 2029, dengan jumlah pelaburan RM5 juta dan dijangka menjana pendapatan sehingga RM50 juta setahun.

Pelaksanaan program ini, katanya, akan disokong oleh Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur yang akan memberi panduan dan bantuan teknikal kepada peserta projek.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan Program Latihan dan Geran Keusahawanan Nelayan Tempatan yang akan dilaksanakan di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Lumut, Perak.

“Program ini menyasarkan tekong dan nelayan tempatan untuk mengikuti latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), kursus jangka pendek serta layak memohon geran keusahawanan sehingga RM200,000.

“Projek rintis 2025 dijadualkan melibatkan 50 peserta sebagai permulaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kru asing,” jelas beliau.

Ahmad Zahid turut memaklumkan mengenai keberkesanan pelaksanaan Ops Tiris 1.0 hingga 3.0, yang menyaksikan 1,600 tangkapan dilakukan membabitkan nilai ketirisan subsidi melebihi RM400 juta.

Sebagai langkah pembaharuan, katanya, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) telah dilaksanakan bermula 10 Jun 2024 di Semenanjung, dengan memastikan nelayan yang layak terus menerima subsidi diesel pada kadar RM1.65 seliter.

Sementara itu, pelaksanaan penguatkuasaan di Sabah, Sarawak dan Labuan akan dipertingkatkan bagi menangani isu penyelewengan subsidi di kawasan tersebut.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan atau penyalahgunaan bantuan. Sebaliknya, usaha akan terus digerakkan bagi menambah baik sistem penyampaian dan memastikan hanya golongan yang benar-benar layak menerima bantuan,” katanya.

Dalam mesyuarat yang sama, turut dibentangkan Hasil Sesi Libat Urus Komuniti Nelayan (SLU) yang telah dijalankan sejak November 2024. 

Katanya, sebanyak  37 isu utama dikenal pasti dan 46 peratus daripadanya telah diselesaikan melalui kerjasama rentas kementerian.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa pendekatan ini membuktikan komitmen kerajaan untuk mendengar dan bertindak berdasarkan suara serta keperluan sebenar komuniti nelayan.

“Kerajaan akan terus memperkukuh dasar yang bersasar, memperkasa kapasiti nelayan dan memastikan industri perikanan terus menjadi antara tunjang keterjaminan makanan negara,” ujarnya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan