Monday, June 15, 2026

Dakwaan kerajaan jejaki lokasi individu tidak benar – MCMC

Kerajaan tidak menjejak lokasi individu. Data lokasi yang digunakan adalah berdasarkan kedudukan pemancar telekomunikasi, bukan lokasi tepat peranti pengguna.

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan bahawa kerajaan menggunakan inisiatif Mobile Positioning Data (MPD) untuk menjejaki lokasi individu atau mengumpul maklumat peribadi pengguna telefon mudah alih.

Menurut Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, dakwaan yang tersebar dalam media sosial dan beberapa portal adalah tidak berasas serta mengelirukan orang ramai mengenai tujuan sebenar inisiatif tersebut.

“Kerajaan tidak menjejak lokasi individu. Data lokasi yang digunakan adalah berdasarkan kedudukan pemancar telekomunikasi, bukan lokasi tepat peranti pengguna,” tegas seperti dilapor FMT hari ini.

Beliau menjelaskan, data yang dikumpulkan oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO) telah dinyahidentiti sepenuhnya sebelum digunakan.

Ini bermakna, kata beliau, tiada sebarang nombor telefon, nama, ID peranti atau butiran langganan yang disertakan dalam set data tersebut.

“Tiada log panggilan, tiada data komunikasi, dan tiada rekod akses internet atau alamat IP dikumpul melalui inisiatif MPD,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa MPD tidak digunakan untuk tujuan pemantauan atau kawalan terhadap mana-mana individu.

“Data ini hanya digunakan untuk analisis statistik makro bagi menyokong perancangan dasar serta pembangunan infrastruktur negara,” ujar Zulkarnain.

Mengulas lanjut, beliau berkata, data asas interaksi peranti dengan menara pemancar adalah sebahagian daripada operasi normal rangkaian mudah alih.

Katanya, ia berlaku secara automatik tanpa memerlukan persetujuan (opt-in) atau penolakan (opt-out) daripada pengguna.

“Perlu difahami bahawa MPD tidak mengandungi, mendedahkan atau membayangkan sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti. Ia semata-mata bersifat statistik,” katanya.

Tambah beliau, MCMC sentiasa komited dalam memastikan perlindungan data pengguna dan mengekalkan tahap keselamatan serta kerahsiaan maklumat dalam semua bentuk pengumpulan dan analisis data oleh pihak berkaitan.

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan