Saturday, June 13, 2026

IYRC ASEAN 2025 himpun 800 inovator muda di Johor

Pertandingan tahun ini mencabar para peserta membangunkan penyelesaian robotik yang menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

Mesti Baca

LEBIH 800 inovator muda dari tujuh negara ASEAN berhimpun di EduCity Iskandar Malaysia sempena Pertandingan Robotik Remaja Antarabangsa (IYRC) ASEAN 2025 yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jun.

Majlis perasmian telah disempurnakan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Ahmad Nazir Mohd. Nasir yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited terhadap pembangunan belia dalam bidang teknologi dan inovasi.

Bertemakan “Tenaga Hijau”, pertandingan tahun ini mencabar para peserta membangunkan penyelesaian robotik yang menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

“IYRC bukan sekadar pertandingan robotik, ia adalah satu perjalanan penemuan yang menyatukan pendidikan, inovasi, keseronokan, pengembaraan dan pertukaran budaya dalam satu pengalaman bermakna,” kata Pengerusi Penganjur IYRC ASEAN 2025, Olivia Ooi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor, para penaja, pendidik serta ibu bapa atas sokongan dalam menjayakan acara berprestij ini yang menyasarkan pembinaan warganegara global masa hadapan.

IYRC ASEAN 2025 bukan sahaja memperkukuh jalinan kerjasama antara negara ASEAN, malah menjadi bukti kesungguhan rantau ini dalam mempertingkat kesiapsiagaan digital dan melahirkan generasi pelapis berpotensi tinggi.

Pertandingan ini berlangsung di EduCity Iskandar Puteri, sebuah kawasan pembangunan pendidikan seluas 305 ekar yang menempatkan tujuh institusi pengajian tinggi dan empat sekolah antarabangsa termasuk University of Reading Malaysia, Newcastle University Medicine Malaysia dan Raffles University Iskandar.

Dilengkapi makmal inovasi, kediaman pelajar dan Stadium EduCity berkapasiti 30,000 tempat duduk, hab pendidikan ini mencerminkan Johor sebagai pemacu utama pembangunan teknologi serantau.

Lebih daripada sekadar lokasi pertandingan, Johor turut menawarkan pengalaman menyeluruh kepada peserta dan keluarga melalui gabungan pendidikan dan pelancongan, termasuk keindahan pantai, warisan budaya, ladang agro-teknologi dan kepelbagaian kulinari.

IYRC ASEAN 2025 menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha Johor dan ASEAN memperkukuh kedudukan sebagai hab inovasi global yang memfokus kepada pembangunan belia, kerjasama serantau dan teknologi lestari.

Related posts:

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan