ISLAMIC Relief Malaysia (IR Malaysia) telah menghantar dua wakil ke Blantyre, Malawi malam tadi bagi menjayakan misi Kembara Rezeki Qurban sempena sambutan Aidiladha 1446 Hijrah.
Misi yang berlangsung dari 3 hingga 11 Jun itu bertujuan menilai pelaksanaan ibadah korban di lapangan serta memastikan ia mematuhi garis panduan dan piawaian antarabangsa yang digariskan oleh Islamic Relief (IR).
Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, ini merupakan kali pertama pasukan Malaysia melakukan lawatan pemantauan dan penilaian bagi kempen Rezeki Qurban.
“Alhamdulillah, IR mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam melaksanakan ibadah korban di seluruh dunia.
“Tahun ini, kita memilih untuk ke Malawi memandangkan negara itu menerima penyertaan tinggi daripada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, misi tersebut membawa amanah besar daripada para penyumbang yang mempercayai IR untuk melaksanakan ibadah korban bagi pihak mereka.
“Golongan Muslim di Malawi merupakan minoriti dan ramai hidup dalam kemiskinan. Oleh itu, penyertaan korban rakyat Malaysia amat bermakna kepada mereka.
“Lawatan ini juga membuka ruang pembelajaran antara pasukan Malaysia dan pasukan lapangan di sana,” tambahnya.
Misi turut disertai Pengurus Bahagian Program IR Malaysia merangkap ketua misi, Fa’azurah Kadir, yang memaklumkan bahawa pemantauan merangkumi keseluruhan proses korban termasuk pemilihan lembu, penyembelihan, melapah, pembungkusan, dan pengagihan.
“Insya-Allah, pada Hari Raya Aidiladha nanti, kami akan menyaksikan sendiri proses penyembelihan dan pengagihan daging korban sumbangan rakyat Malaysia.
“Tahun ini sahaja, rakyat Malaysia menyumbang sebanyak 300 bahagian korban untuk penduduk Malawi,” ujarnya.
IR Malawi dijangka mengagihkan 38,700 pek daging melibatkan 15,050 bahagian korban, yang memberi manfaat kepada 193,500 isi rumah di tiga daerah utama iaitu Blantyre, Mangochi dan Balaka.
Selain projek korban, pasukan misi turut meninjau projek tajaan lain seperti penajaan anak yatim, kemudahan air bersih dan sanitasi (WASH), serta program kehidupan mampan yang turut dibiayai rakyat Malaysia.
Turut serta dalam misi ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah IR Worldwide dan IR Malaysia, Nurhayati Hassan yang memainkan peranan penting dalam memastikan ketelusan serta akauntabiliti organisasi kepada para penyumbang.
Rezeki Qurban merupakan salah satu kempen tahunan IR Malaysia bagi memberi peluang kepada umat Islam Malaysia menunaikan ibadah korban di negara-negara yang dilanda kemiskinan, kebuluran dan krisis kemanusiaan. – Edisi 9

