Wednesday, July 22, 2026

AI menjana kreativiti atau membunuh daya fikir pelajar?

Penggunaan AI secara berlebihan menyebabkan pelajar menjadi terlalu bergantung kepada teknologi, sehingga menjejaskan keupayaan berfikir secara kritis

Mesti Baca

Oleh AHMAD FAID LUTFI SYAFRIZAL

DALAM era digital yang semakin pesat berkembang, kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) semakin memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor, termasuk bidang pendidikan. 

Kehadiran teknologi ini bukan sekadar mencorak semula kaedah pembelajaran pelajar, tetapi turut mewujudkan pelbagai peluang dan cabaran yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk pelajar, pendidik, ibu bapa, dan pembuat dasar.

Salah satu manfaat ketara AI dalam pendidikan ialah kebolehannya membantu pelajar mendapatkan maklumat secara pantas dan mudah. 

Ketika pelajar berdepan kekangan dalam memahami sesuatu topik, alat seperti ChatGPT boleh berperanan sebagai pembantu maya yang memberikan jawapan serta cadangan langkah demi langkah seakan bimbingan peribadi dalam talian.

Lebih menarik, AI kini mampu menyesuaikan kandungan pembelajaran mengikut tahap kefahaman, minat, dan keperluan individu. 

Sebagai contoh, pelajar yang kurang fasih bahasa Bahasa Inggeris boleh meminta terjemahan automatik atau penjelasan dalam bahasa ibunda mereka. 

Ini bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih inklusif, malah memperkasakan pelajar yang sebelum ini mungkin ketinggalan kerana kekangan bahasa atau akses maklumat.

Tambahan pula, AI turut mampu mencadangkan bentuk tugasan atau projek berdasarkan tahap kemahiran pelajar, sekaligus meningkatkan motivasi serta penglibatan mereka dalam proses pembelajaran secara lebih aktif.

Namun begitu, kemajuan teknologi ini turut hadir bersama cabaran yang tidak boleh dipandang ringan. 

Penggunaan AI secara berlebihan boleh menyebabkan pelajar menjadi terlalu bergantung kepada teknologi, sehingga menjejaskan keupayaan berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah secara kendiri.

Isu integriti akademik juga menjadi kebimbangan utama. Terdapat pelajar yang menyalahgunakan AI untuk menyiapkan tugasan, menjawab kuiz atau menulis esei tanpa usaha sendiri. 

Walaupun terdapat perisian pengesan kandungan yang dihasilkan AI, tanggungjawab utama tetap terletak kepada kesedaran pelajar dan pemantauan guru.

AI juga tidak bebas daripada kelemahan data. Sistem ini hanya mampu memberikan jawapan berdasarkan maklumat yang dilatih kepadanya. 

Jika data tersebut berat sebelah, tidak lengkap atau lapuk, maka jawapan yang diberikan juga mungkin tidak tepat. 

Ini boleh membawa kepada penyebaran maklumat palsu dan mengukuhkan stereotaip yang tidak sihat dalam kalangan pelajar.

Justeru, adalah penting untuk membudayakan penggunaan AI secara bijaksana dan beretika. 

AI perlu dilihat sebagai alat bantu pembelajaran, bukan pengganti kepada usaha manusia. 

Peranan guru tetap relevan sebagai pemantau, pembimbing dan pencetus pemikiran pelajar agar tidak bergantung sepenuhnya kepada mesin.

Kerjasama antara pendidik, pelajar dan pembuat dasar amat diperlukan bagi merangka garis panduan yang jelas serta menyokong pembangunan sistem pendidikan yang beretika, inklusif dan seimbang. 

Hanya dengan pendekatan ini, potensi AI dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan generasi pelajar yang celik teknologi, bertanggungjawab dan mampu bersaing dalam dunia masa depan yang penuh cabaran. 


Penulis adalah mahasiswa Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan