Thursday, July 23, 2026

Mujahadah Arafah: Menyulam taubat meraih maghfirah

Lautan manusia memenuhi segenap ruang di Arafah dengan berpakaian serba putih, semuanya bersatu sebagai hamba yang merendah diri kepada Rabbul Jalil.

Mesti Baca

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya.

Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Bersempena memperingati hari Arafah, khutbah pada hari ini bertajuk: Mujahadah Arafah: Menyulam Taubat Meraih Maghfirah.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bayangkanlah saat ini, jutaan umat Islam sedang berada di Padang Arafah, berbumbungkan langit yang luas terbentang, hamparan tanah yang gersang dan berdebu sambil melaungkan takbir, tahmid serta merintih sayu berdoa dan menadah tangan memohon keampunan kepada Allah SWT.

Inilah kemuncak ibadah yang amat dinantikan setiap orang yang terpilih mengerjakan ibadat haji.

Arafah menjadi bukti pengabdian seorang hamba di sisi pencipta yang Maha Perkasa.

Lautan manusia memenuhi segenap ruang di Arafah dengan berpakaian serba putih, semuanya bersatu sebagai hamba yang merendah diri kepada Rabbul Jalil.

Justeru, keberkatan dan kemuliaan Hari Arafah tidak hanya terbatas kepada mereka yang berada di Tanah Suci.

Allah SWT membuka pintu maghfirah seluas-luasnya kepada para hamba-Nya di mana jua mereka berada.

Hari ini adalah hari untuk kita kembali, bukan sekadar menyesal, tetapi benar-benar mahu berubah menjadi hamba yang taat dan patuh kepada yang Maha Esa.

Renungkanlah maksud Firman Allah SWT dalam Surah Al-Zumar ayat 53 yang dibaca pada mukadimah khutbah sebentar tadi:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Ayat ini menjadi pelita harapan. Tidak kira betapa hitamnya masa silam kita, hari Arafah adalah ruang dan waktu terbaik untuk kita menangisi, merintih, dan merayu, mengharap keampunan Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mari kita mengambil iktibar daripada kisah benar yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Pada era jahiliah, terdapat adat yang sangat kejam – menanam anak perempuan hidup-hidup kerana dianggap beban dan memalukan keluarga.

Namun Islam datang sebagai cahaya yang menyinari kegelapan zaman, menghapuskan kezaliman dan mengangkat martabat wanita.

Dalam sebuah riwayat yang dinukilkan oleh Ibn Sa’d dalam Ṭabaqāt al-Kubrā, diriwayatkan bahawa seorang pemimpin besar dari kabilah Bani Tamim, iaitu Qais bin ‘Ashim Radiallahuanhu, datang menemui Rasulullah SAW selepas memeluk Islam dan dengan penuh rasa kesal mengakui bahawa beliau pernah menanam hidup-hidup lapan orang anak perempuannya.

Rasulullah SAW lalu menenangkannya dengan penuh hikmah dan kasih sayang, menyarankan beliau agar membebaskan beberapa orang hamba sebagai kaffarah, dan memperbanyakkan istighfar.

Kisah ini menjadi bukti nyata bahawa walau sebesar mana dosa kita di masa lalu, rahmat dan keampunan Allah SWT tetap luas dan sentiasa terbuka bagi hamba-hamba-Nya yang benar-benar mahu kembali kepada-Nya.

Kisah ini membuktikan bahawa walau sebesar mana pun dosa kita, pintu taubat sentiasa terbuka. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya yang ingin kembali.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya Allah SWT telah memuliakan waktu-waktu tertentu dalam setahun dan di antaranya ialah Hari Arafah, 9 Zulhijjah. Hari yang
merupakan puncak kepada ibadah haji.

Jutaan manusia berkumpul di Padang Arafah untuk merendahkan diri, memohon keampunan dan mengharapkan rahmat dari Rabbul ‘Alamin. Bahkan diriwayatkan daripada Muslim daripada Aisyah radiallahuanha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Bermaksud: “Tidak ada hari yang Allah lebih banyak membebaskan hambaNya dari api neraka daripada hari Arafah. Sesungguhnya Dia mendekat, kemudian membanggakan mereka kepada para malaikat dan berfirman: Apa yang mereka inginkan?”

Ayuh carilah keampunan dan kembalilah kepada Allah. Perbanyakkan zikir mengagungkan nama Allah, lantunkanlah doa-doa dengan penuh pengharapan dan kerendahan diri, tadabbur ayat-ayat suci Al-Quran yang menenangkan jiwa, dan hulurkanlah tangan membantu sesama sebagai wujud kepedulian dan kasih sayang.

Pada hari yang penuh rahmat ini, mari kita bersatu hati memohon keampunan atas segala dosa dan noda, serta mengharap agar Allah SWT menerima segala amal ibadah kita. Semoga air mata taubat kita di hari ini menjadi saksi kerinduan kita kepada-Nya.

Di samping itu, bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji, disunatkan untuk berpuasa pada Hari Arafah yang penuh kemuliaan ini
sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah Radiallahuanhu, Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Puasa Hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”

Subhanallah! Dengan hanya satu hari berpuasa, dosa dua tahun diampunkan. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan ini. Insyaallah.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Hari Arafah yang mulia ini seharusnya tidak hanya kita lihat sebagai puncak ibadah haji semata, tetapi juga sebagai hari yang sarat dengan sejarah agung bagi umat Islam.

Di padang Arafah, lebih empat belas abad yang lalu, khutbah terakhir Baginda telah disampaikan. Dalam khutbah yang penuh nasihat dan wasiat itu, Baginda SAW menyeru kepada persaudaraan, dan meninggalkan persengketaan di antara umat Islam.

Baginda mengingatkan tentang amanah, larangan menumpahkan darah, serta pentingnya berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman hidup.

Bahkan yang lebih utama ialah penyempurnaan syariat sekaligus penamatan risalah Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, sempena Hari Arafah yang mulia ini, jangan lupa untuk turut memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Baginda SAW lebihlebih lagi pada hari Jumaat ini. Renungkan kembali mutiara penuh hikmah yang dirakamkan melalui Khutbah Wida’.

Dengan mengingati perjuangan Rasulullah SAW, kita akan menjadi umat yang semakin kukuh dalam iman dan semakin gigih dalam mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Akhirnya, marilah kita mengambil kesempatan agung pada Hari Arafah ini untuk kembali kepada Allah SWT dengan hati yang suci murni, dengan air mata keinsafan, dengan jiwa yang rindu kepada keampunan-Nya.

Kembalilah, bukan kerana kita sempurna, tetapi kerana kita yakin bahawa Allah Maha Pengampun.


Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), 6 Jun 2025

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan