MALAYSIA menyuarakan pendirian tegas terhadap keselamatan digital kanak-kanak menerusi pembaharuan undang-undang serta kerjasama strategik dengan negara luar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Malaysia sentiasa bersedia mendepani cabaran baharu era digital termasuk isu eksploitasi kanak-kanak secara dalam talian.
Berucap ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Creating a Safer Digital Future: Malaysia’s Legislative Approach to Online Child Protection sempena Forum Undang-Undang Antarabangsa Tashkent Law Spring 2025, beliau menegaskan, kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan aspek keselamatan generasi muda.
“Kemajuan teknologi membuka ruang eksploitasi baharu. Kita tidak boleh hanya melihat kepada manfaatnya semata-mata. Masa depan digital mesti lebih selamat, berperikemanusiaan dan adil, khususnya kepada kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan MADANI kini dalam proses meneliti semula beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi memperkenalkan tanggungjawab lebih jelas kepada ibu bapa dan penjaga.
Antara cadangan ialah mewajibkan pemantauan terhadap tingkah laku dalam talian anak-anak serta penglibatan aktif dalam program kesedaran keselamatan digital.
Dalam forum yang berlangsung di Tashkent, Azalina turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Keadilan Uzbekistan, Akbar Tashkulov, yang menyaksikan termeterainya satu Memorandum Persefahaman (MoU) baharu pada 30 Mei lalu.
MoU yang bakal berkuat kuasa selama tiga tahun itu meliputi kerjasama dalam bidang pertukaran kepakaran perundangan, pembaharuan institusi kehakiman serta pengukuhan sistem keadilan antara kedua-dua negara.
Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Keadilan dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Kabinet Negara Qatar, Ibrahim bin Ali bin Issa Al Hassan Al Mohannadi, yang membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik kedua-dua negara berkaitan reformasi undang-undang dan hak asasi manusia.
Selain itu, Malaysia turut memulakan jalinan awal bersama Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam usaha meningkatkan tadbir urus digital dan sistem keadilan.
Menurut Azalina, pertemuan bersama Ketua Bahagian Tadbir Urus Awam OECD, Dr. Tatyana Teplova, menjadi titik permulaan kepada usaha memperkukuh keupayaan negara dalam melaksanakan reformasi undang-undang yang selari dengan standard antarabangsa tanpa mengetepikan keperluan serta realiti tempatan.
“Kerajaan MADANI kekal komited memperjuangkan keadilan, hak dan kesejahteraan rakyat. Penyertaan aktif Malaysia dalam forum ini mencerminkan kesungguhan kita untuk menjadikan dunia lebih selamat dan adil untuk semua,” katanya. – Edisi 9

