Sunday, June 14, 2026

Tanah runtuh: Laluan ke 26 kampung Orang Asli pulih 

Sebanyak 12 lokasi dikenal pasti mengalami hakisan dan kerosakan berdasarkan siasatan awal oleh JAKOA Negeri Kelantan - Ahmad Zahid Hamidi 

Mesti Baca

LALUAN utama yang menghubungkan 26 kampung Orang Asli di Pos Simpor dan Pos Gob, Gua Musang, Kelantan yang sebelum ini terputus akibat kejadian tanah runtuh telah dibersihkan dan boleh dilalui semula oleh semua jenis kenderaan.

Kejadian yang dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan itu telah menjejaskan lebih 2,000 penduduk yang bergantung kepada laluan tersebut sebagai akses utama ke kawasan luar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerja-kerja pembaikan awal sedang giat dijalankan selepas beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan segera.

“Sebanyak 12 lokasi dikenal pasti mengalami hakisan dan kerosakan berdasarkan siasatan awal oleh JAKOA Negeri Kelantan. 

“Laluan tersebut kini telah dipulihkan sementara kerja baik pulih dijalankan secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan tiada komuniti desa yang terpinggir, khususnya masyarakat Orang Asli yang sering berdepan cabaran logistik dan geografi.

Menurut beliau, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memantau situasi secara berkala dan menerima laporan berstruktur daripada pihak berwajib bagi memastikan tindakan jangka panjang dapat dirangka bagi mengelakkan kejadian berulang.

“KKDW komited untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan aksesibiliti masyarakat Orang Asli sentiasa terpelihara, lebih-lebih lagi dalam menghadapi bencana alam yang tidak dijangka,” tambahnya.

Tegas beliau, kerajaan akan memastikan usaha menyeluruh dilakukan supaya kebajikan rakyat, khususnya komuniti pedalaman, diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan dan pengurusan risiko bencana. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan