Thursday, June 4, 2026

Beras putih import RM2,600 semetrik tan mulai 15 Mei 

Ini merupakan pelarasan kali kedua selepas penurunan harga pada 1 Disember 2024, daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini mengumumkan pelarasan harga Beras Putih Import (BPI) di seluruh negara kepada RM2,600 bagi setiap metrik tan mulai esok, 15 Mei.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia sebagai langkah proaktif untuk terus menjamin kestabilan bekalan serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, pelarasan tersebut adalah hasil sesi libat urus bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas), dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk perkembangan pasaran global serta keperluan menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.

“Justeru, berkuat kuasa 15 Mei 2025, harga BPI di semua pintu gudang Bernas di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan.

“Ini merupakan pelarasan kali kedua selepas penurunan harga pada 1 Disember 2024, daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, biarpun begitu, program subsidi BPI oleh Kerajaan Persekutuan bagi negeri Sabah dan Sarawak akan diteruskan seperti biasa.

Katanya, langkah itu jelas mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI yang berteraskan prinsip keprihatinan dan kesejahteraan rakyat untuk memastikan makanan ruji negara kekal mampu milik, mudah diperoleh, dan sentiasa mencukupi.

“Kejayaan ini adalah hasil pendekatan strategik Bernas dalam mempelbagaikan sumber bekalan beras daripada pelbagai negara seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran tunggal,” katanya.

Mohamad berkata, KPKM akan terus memantau perkembangan pasaran dan memastikan dasar-dasar yang digariskan kekal berpaksikan kepentingan rakyat dan keterjaminan makanan negara. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan