JENAMA kenderaan elektrik baharu, iCAUR hari ini secara rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia sempena pameran Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang sehingga 15 Mei ini.
Dilahirkan hasil kerjasama antara gergasi automotif China, Chery, dan syarikat teknologi SmartMi Tech, iCAUR menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama di rantau ini selepas pelancaran global jenama itu di Auto Shanghai bulan lalu.
Naib Presiden iCAUR Malaysia, Emily Lek berkata, kehadiran jenama itu bukan sekadar pengenalan produk baharu, tetapi membawa pendekatan segar terhadap mobiliti elektrik yang menepati gaya hidup moden dan aktif.
“iCAUR bukan hanya satu bentuk pengangkutan, tetapi lambang ekspresi diri, semangat pengembaraan dan keterhubungan generasi masa kini. Kami komited untuk membawa penyelesaian automotif yang pintar dan lasak ke pasaran Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran iCAUR di MAEPS Serdang, hari ini.
Hadir sama Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen; Ketua Jurutera Pembangunan Produk Chery Automobile Co Ltd, Dr David Xianqiang dan Pengarah Produk Chery Corporate Malaysia, Kong Qingfeng.
Tiga model SUV elektrik sepenuhnya diperkenalkan kepada umum iaitu iCAUR 03, 03T, dan V23. Model utama iCAUR 03 bakal memasuki pasaran tempatan secara rasmi pada suku ketiga tahun ini.
Menariknya, iCAUR 03 ditawarkan dalam dua konfigurasi – pacuan dua roda (2WD) dan pacuan roda pintar (iWD). Versi 2WD hadir dengan motor 135kW dan bateri 65.7kWh, mampu menjangkau sehingga 426 kilometer (NEDC).
Sementara itu, versi iWD dilengkapi dua motor berkuasa 205kW dengan tork 385Nm dan bateri 69.8kWh, memberikan jarak 418 kilometer.
Antara teknologi yang diketengahkan ialah sistem keselamatan iCARE, mod pemanduan iROAD yang menampilkan enam tetapan berbeza, serta sistem hiburan dan bantuan pemanduan iBRAND yang dilengkapi 12 pembesar suara INFINITY dan kamera pandangan 540 darjah.
Dari segi keselamatan, iCAUR 03 menyokong teknologi bantuan pemanduan lanjutan (ADAS) Tahap 2.5 yang merangkumi Bantuan Pertukaran Lorong, Kawalan Peluncuran Adaptif dan Bantuan Kesesakan Lalu Lintas.
Malah, kemampuan pengecasan pantas membolehkan baterinya dicas daripada 30% ke 80% dalam masa hanya 30 minit menggunakan pengecas DC 80kW.
Model ini ditawarkan pada harga anggaran RM145,000 untuk versi 2WD dan RM155,000 bagi versi iWD. Pelanggan boleh membuat tempahan awal dengan deposit boleh-pulang sebanyak RM1,000.
Bagi pengunjung Malaysia Autoshow 2025, mereka berpeluang menyaksikan sendiri ketiga-tiga model serta menyertai aktiviti menarik seperti permainan arked dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah eksklusif termasuk model skala iCAUR 03 edisi terhad.
Sebagai permulaan operasi di Malaysia, iCAUR turut mengumumkan perjanjian bersama 11 pengedar rasmi, dengan lebih banyak lagi akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dengan matlamat membuka lebih 2,000 pusat jualan dan perkhidmatan di lebih 100 negara menjelang tahun 2028, iCAUR menyasarkan untuk menjadi antara pemain utama dalam industri kenderaan tenaga baharu (NEV) global.
Jenama ini juga menyokong aspirasi negara ke arah mobiliti hijau melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) yang menyasarkan 80 peratus penggunaan EV menjelang 2050. – Edisi 9

