PENDIDIKAN rekreasi luar perlu diangkat sebagai pendekatan holistik dalam membentuk individu berdaya tahan, bertanggungjawab dan seimbang sejajar dengan keperluan pembangunan insan masa kini.
Menurut Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh, dalam era penggunaan teknologi digital yang meluas, aktiviti rekreasi luar semakin penting bagi membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental, selain memperkukuh hubungan sosial dan keseimbangan emosi.
Beliau berkata, rekreasi luar bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya ia adalah satu gaya hidup yang mendekatkan kita dengan alam semula jadi, membina daya tahan, memupuk kerjasama berpasukan serta menguatkan jasmani dan rohani.
Menurutnya, bidang rekreasi luar di Malaysia berkembang pesat sebagai sebahagian usaha memajukan budaya dan pelancongan negara, melalui pelbagai aktiviti yang direka untuk semua lapisan masyarakat.
“Kerajaan memberi sokongan penuh kepada pembangunan rekreasi luar, antaranya melalui pelancaran program Edu+ oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menggabungkan elemen pendidikan dengan pengalaman pelancongan, penerokaan budaya, ekopelancongan dan aktiviti sukan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Rekreasi Luar dan Pendidikan Malaysia (MOREC) 2025 yang berlangsung di UPSI Adventure Park, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Syaiful Fahmi turut menzahirkan penghargaan kepada UPSI atas komitmen berterusan memperkasa pendidikan rekreasi luar menerusi penubuhan Akademi Kepimpinan Pengembaraan dan Rekreasi Luar (AURORA) yang dikendalikan oleh Pusat Kokurikulum universiti tersebut.
Mengulas perkembangan di negeri Perak, beliau berkata, pelbagai program rekreasi luar dan pendidikan seperti Outward Bound Malaysia di Lumut, Hutan Simpan Royal Belum di Gerik serta aktiviti lasak di Gopeng seperti whitewater rafting dan Nomad Adventure telah menjadi tarikan utama yang memperkukuh ekosistem pelancongan dan pendidikan negeri ini.
Sementara itu, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata, MOREC 2025 bertemakan ‘Eco-Minds: Shaping Tomorrow’s Leaders Through Outdoor Learning’, bertujuan menonjolkan nilai rekreasi luar bukan sahaja sebagai aktiviti riadah, malah sebagai alat untuk pendidikan, pemuliharaan dan pembangunan komuniti.
“Persidangan ini menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang termasuk penyelidik, pendidik, profesional industri dan pengamal rekreasi luar untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan idea dalam membentuk masa depan bidang yang menarik ini,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa aktiviti rekreasi luar kini berkembang daripada sekadar aktiviti riadah kepada platform pendidikan holistik yang memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman. – Oleh BAZLI RAZAK/Edisi 9

