Tuesday, July 21, 2026

Azalina bertemu peguam wakili Malaysia hadapi tuntutan Sulu

Prosiding kes Sulu seterusnya adalah di hadapan Mahkamah Rayuan Paris, yang dijadualkan pada 7 Julai ini.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengadakan pertemuan dengan pasukan perundangan yang mewakili Malaysia bagi menghadapi kes Sulu.

Beliau berkata, pertemuan diadakan di Paris, Perancis bagi pemetaan strategi berterusan dan kemas kini kes tersebut yang kini sedang berlangsung.

Menurutnya, kes Sulu telah mencabar had imuniti Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat apabila pembiayaan pihak ketiga (Third Party Funding) disalahgunakan bagi memperpanjang tuntutan tidak berasas terhadap Sabah dengan cara yang amat licik.

Selain itu, jelas beliau, ia juga memperlihatkan bagaimana tribunal timbang tara swasta cuba merampas aset milik kerajaan.

“Malaysia akan terus melaksanakan semua usaha, hak dan sumber yang ada untuk melindungi kedaulatan kekebalan dan kepentingan Malaysia serta memuktamadkan kes penipuan Sulu yang tidak berasas ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di The Hague, Belanda hari ini.

Hadir dalam pertemuan itu ialah Peguam Cara II Negara, Datuk Umar Saifuddin Jaafar.

Azalina bagaimanapun berkata, beberapa keputusan yang memihak Malaysia mutakhir ini semuanya secara signifikan telah mengukuhkan kedudukan dan kedaulatan undang-undang Malaysia sebagai sebuah negara merdeka lagi berdaulat.

Antaranya ialah keputusan Mahkamah Perancis (French Court of Cassation) untuk membatalkan pengiktirafan anugerah awal, menolak anugerah akhir oleh Mahkamah Agung Belanda, dan sabitan jenayah Mahkamah Rayuan terhadap penimbang tara Gonzalo Stampa kerana menghina mahkamah.

Beliau berkata, prosiding kes Sulu seterusnya adalah di hadapan Mahkamah Rayuan Paris, yang dijadualkan pada 7 Julai ini.

“Perbicaraan ini akan menyaksikan badan kehakiman Perancis untuk meneliti kesahihan anugerah timbang tara yang dikenakan terhadap Malaysia serta pelbagai aspek perundangan yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu kelmarin, Azalina telah menyampaikan kenyataan lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung permintaan untuk Pendapat Nasihat mengenai Obligations of Israel in relation to the Presence and Activities of the United Nations, Other International Organizations and Third States in relation to the Occupied Palestinian Territory’.

Azalina berkata, Malaysia berprinsip bahawa ia bukan hanya satu isu politik antarabangsa semata-mata sebaliknya, berhubung kait dengan ketidakpatuhan perintah undang-undang yang telah menjejaskan kredibiliti peraturan antarabangsa.

“Malaysia merupakan antara negara yang memperjuangkan proses perundangan antarabangsa, usaha-usaha diplomasi dan prinsip keadilan dan kesaksamaan di pentas global.

“Solidariti tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap hak Palestin untuk penentuan nasib sendiri dan bantuan kemanusiaan mencerminkan komitmen berterusan kita dalam hal ini selain menjalin hubungan erat dengan negara-negara lain yang sependapat dalam usaha ini,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan