SELEPAS akhbar Sin Chew Daily disiasat Kementerian Dalam Negeri (KDN), giliran Kwong Wah Yit Poh (KWYP) pula menghadapi tindakan sama susulan penerbitan lakaran Jalur Gemilang tidak lengkap hari ini.
Bagaimanapun, KWYP berdepan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ekoran penerbitan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit itu disiarkan menerusi media sosial.
MCMC dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah memanggil pihak KWYP dan siasatan dilakukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233.
Menurut MCMC, ini memandangkan kesalahan dilakukan oleh KWYP adalah melibatkan kandungan yang dimuat naik secara dalam talian.
“MCMC memandang serius perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KDN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan, sekiranya perlu dan berkaitan.
“MCMC memberi amaran tegas kepada semua pihak, sama ada organisasi media mahupun orang awam, agar tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang bersifat mempersendakan atau menampilkan bendera Malaysia dalam keadaan tidak lengkap sifatnya,” kata kenyataan itu hari ini.

MCMC berkata, tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan tersebut.
Katanya, MCMC komited untuk memastikan penggunaan media digital di Malaysia kekal tertib dan menghormati simbol-simbol kebangsaan.
Sebelum ini, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily berdepan tindakan di bawah dua perundangan ekoran menerbitkan satu lakaran Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan akhbar tersebut hari ini.
KDN dalam kenyataan berkata, akhbar tersebut boleh didakwa di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301], kedua-duanya di bawah bidang kuasa kementerian tersebut.
KDN berkata, isu itu timbul apabila imej Jalur Gemilang yang disiarkan tidak memaparkan simbol bulan sabit sebagai satu lambang penting yang menggambarkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
“Perbuatan ini disifatkan bukan sahaja tidak wajar, malah mencetuskan kebimbangan terhadap profesionalisme dalam kalangan penerbit serta potensi menjejaskan keharmonian masyarakat. – Edisi 9

