Wednesday, July 22, 2026

Malaysia perlu realistik urus hubungan ekonomi dengan AS

Terlalu bergantung kepada sistem alternatif anti-AS seperti BRICS, RCEP atau bahkan ASEAN sendiri, adalah langkah berisiko tinggi.

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

KESAN jangka pendek daripada dasar perdagangan keras Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump, termasuk pengurangan eksport dan kejatuhan nilai ringgit, sememangnya tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, menurut Penganalisis Hubungan Antarabangsa dan Keselamatan, Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat, langkah Trump itu berpotensi memberikan pulangan jangka panjang yang jauh lebih besar, bukan sahaja kepada AS tetapi juga kepada negara seperti Malaysia.

Ini kerana, menurut beliau, AS kekal sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia dengan KDNK hampir mencecah USD30 trilion.

“Pasaran pengguna terbesar dunia ini mengimport sebanyak USD3 trilion setahun. Kita tidak boleh menafikan bahawa kekuatan ekonomi dan permintaan dalaman AS memainkan peranan penting dalam rantaian perdagangan global,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Menurut Collins, selama berdekad lamanya sistem perdagangan dunia telah dimanipulasi oleh kuasa-kuasa tertentu yang melemahkan Amerika melalui ketidakadilan struktur.

COLLINS CHONG YEW KEAT

Trump, katanya, muncul dengan pendekatan radikal untuk membetulkan ketidakseimbangan tersebut, termasuk menerusi dasar-dasar properniagaan, pemansuhan halangan tarif, serta memperkukuh sektor tenaga.

Make America Wealthy Again bukan sekadar slogan politik, sebaliknya kata Collins, ia adalah strategi ekonomi yang bertujuan menjadikan pasaran AS lebih kuat dan mengekalkan simbiosis ekonomi yang menguntungkan rakan dagang seperti Malaysia.

Menyentuh tentang tarif baharu yang dikenakan oleh AS, Collins berkata, langkah itu seharusnya membuka mata Malaysia untuk lebih pantas bertindak.

Beliau menekankan kepentingan Malaysia untuk segera berunding dengan Washington, termasuk menawarkan pengurangan halangan bukan tarif dan mempertimbangkan perjanjian tarif sifar secara timbal balik.

“Trump beri tempoh 90 hari untuk penangguhan tarif dan Malaysia mesti melihat ini sebagai peluang emas. Kita perlu membetulkan kesilapan lalu dalam hubungan dengan Amerika,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya Malaysia dan ASEAN mendalami kerjasama dalam bidang keselamatan dan pertahanan dengan AS, sekali gus membina landasan kukuh bagi kestabilan geopolitik dan ekonomi.

“Jika kita tawarkan perjanjian tarif sifar dengan AS, eksport seperti elektronik, minyak sawit dan tekstil akan mendapat kelebihan besar.

“Ini bukan hanya soal ekonomi tetapi strategi jangka panjang bagi mengekalkan pelaburan asing terus masuk ke negara kita,” ujar beliau lagi.

Dengan pasaran AS yang berskala besar dan nilai KDNK melebihi USD25 trilion, peluang yang ditawarkan jauh melebihi apa yang mampu dicapai melalui kerjasama serantau semata-mata.

Menurut Collins, firma-firma AS dalam bidang teknologi tinggi akan lebih berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama dalam rantaian bekalan mereka sekiranya tarif dihapuskan.

“Tarif sifar akan menjadikan Malaysia lebih menarik untuk pelaburan langsung asing (FDI). Malah, pengecualian tarif terhadap semikonduktor pada masa ini sudah menunjukkan kesan positif,” jelasnya.

Selain potensi pelaburan, hubungan perdagangan yang lebih rapat dengan AS juga akan membuka ruang untuk pemindahan teknologi.

Collins berkata, syarikat-syarikat AS membawa bukan sahaja modal, tetapi juga ilmu pengurusan, inovasi dan teknologi canggih.

“Kerjasama ini boleh bantu Malaysia naik dalam rantaian nilai dari hanya sekadar memasang komponen kepada menjadi pusat reka bentuk dan pembangunan,” katanya.

Namun begitu, Collins turut mengingatkan bahawa terlalu bergantung kepada sistem alternatif anti-AS seperti BRICS, RCEP atau bahkan ASEAN sendiri, adalah langkah berisiko tinggi.

“Kita silap jika anggap ASEAN mampu beri tekanan kepada Trump, atau jika kita fikir China boleh jadi pelindung ekonomi utama Malaysia.

“Realitinya, hanya Amerika Syarikat memiliki gabungan kekuatan pasaran, pelaburan, keselamatan dan teknologi yang tidak dapat ditandingi,” tegas beliau.

Beliau juga menolak idea bahawa pendekatan berkecuali Malaysia selama ini akan kekal relevan.

Katanya, sikap berkecuali tanpa strategi yang jelas hanya menjadikan Malaysia terpinggir dalam arus perubahan ekonomi global.

“Trump tidak akan tunduk pada tekanan. China sendiri telah dikenakan tarif balas sehingga 125 peratus dan Trump jelas menyatakan beliau tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana negara yang melemahkan ekonomi AS,” ujar Collins sambil merujuk kenyataan Trump di platform X baru-baru ini.

Dalam konteks Malaysia, statistik menunjukkan bahawa pelaburan AS terus mengungguli carta.

Pada 2022, pelaburan langsung asing (FDI) bersih dari AS merangkumi 43 peratus daripada keseluruhan FDI Malaysia, melebihi gabungan enam negara lain.

Manakala lebih 70 peratus pelaburan tersebut pula datangnya dari syarikat-syarikat Fortune 500.

“AS telah membantu mewujudkan lebih 300,000 pekerjaan di Malaysia. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada model ekonomi lama berasaskan buruh murah dan sumber mentah,” katanya.

Malaysia, menurut Collins, memerlukan satu transformasi ekonomi berasaskan nilai dan kemahiran, bukan sekadar kepelbagaian pasaran atau friendshoring.

Katanya, tanpa pendekatan strategik jangka panjang yang menyeluruh, negara ini akan terus terperangkap dalam kategori pendapatan sederhana.

“Ekonomi yang berjaya memerlukan ekosistem stabil, permintaan pasaran yang kuat dan kepercayaan pelabur. Dalam semua aspek ini, Amerika kekal sebagai rakan paling penting bagi Malaysia.

“Kita tidak boleh ulangi kesilapan lama dengan mengabaikan kekuatan sebenar ekonomi global hari ini iaitu Amerika Syarikat,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan