
PENANGGUHAN selama 90 hari terhadap tarif balas oleh Amerika Syarikat (AS) mungkin kelihatan seperti ruang bernafas buat para pengilang Malaysia, namun ia tidak harus ditafsirkan sebagai satu kemenangan apatah lagi untuk bersikap leka.
Demikian diingatkan oleh Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berhubung tarif balas yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump terhadap negara-negara pengeksport.
Beliau menyifatkan tempoh tersebut sebagai saat genting yang mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyusun semula strategi industri tempatan.
“Kami tidak melihat ini sebagai masa untuk menarik nafas panjang. Ini masa untuk mempercepatkan pelan tindakan. Jika kita lambat, kita akan ketinggalan,” tegas beliau kepada Edisi 9 hari ini.
Menurut Thian Lai, tarif sebanyak 24 peratus yang sepatutnya bermula pada 9 April itu, jika dilaksanakan berpotensi menggoncang ekosistem eksport negara terutamanya bagi syarikat yang bergantung besar kepada pasaran AS.

Berdasarkan dapatan awal kaji selidik FMM, katanya, majoriti pengilang menjangkakan berlaku peningkatan kos eksport sebanyak 10 hingga 30 peratus ekoran daripada pengenalan tarif tesebut.
Beliau berkata, dalam masa yang sama, tekanan daripada pelanggan luar negara untuk menurunkan harga atau menukar syarat kontrak terus meningkat.
“Tidak hairanlah ramai syarikat kini dalam mod survival, sedang menyusun semula rantaian bekalan, menilai semula pasaran dan merancang untuk menghadapi kemungkinan terburuk,” katanya sambil berharap kerajaan dapat memainkan peranan aktif dalam hal tersebut.
Tanpa berselindung, Thian Lai menyuarakan keperluan untuk rundingan terus dengan pihak AS, terutamanya bagi sektor yang paling terdedah kepada risiko seperti produk getah, perabot, peralatan perubatan dan perkhidmatan pembuatan elektronik.
Malaysia, katanya, perlu mempertahankan imej sebagai negara perdagangan terbuka yang konsisten dan boleh dipercayai.
Beliau turut berharap kerajaan mengetengahkan hakikat bahawa tarif purata Malaysia amat rendah dengan penggunaan halangan bukan tarif yang minimum, yang merupakan satu fakta yang boleh menyokong penilaian semula kedudukan Malaysia dalam kerangka tarif AS.
Katanya, apa yang lebih penting daripada rundingan luar ialah tindakan dalam negara sendiri.
Beliau mendedahkan bahawa FMM telah menghantar surat rasmi kepada Kementerian Kewangan meminta agar peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadual bermula 1 Mei ini dapat ditangguhkan.
Jelas beliau, ketika kos operasi sudah pun meningkat akibat ketidaktentuan global, pengenalan dasar baharu yang menambah beban kewangan dilihat sebagai langkah yang kurang bijak.
Ini ditambah pula dengan penyesuaian tarif elektrik yang dijangka pada Julai nanti iatu gabungan dua dasar ini, kata beliau, mampu memberi tekanan yang besar terhadap kelangsungan perniagaan serta harga barangan asas.
Malaysia destinasi lambakan eksport
Namun apa yang paling merisaukan pihak FMM, kata Thian Lai, adalah potensi Malaysia menjadi destinasi lambakan eksport yang dialihkan dari pasaran negara lain yang berdepan tarif AS.
“Tanpa kawalan dan pemantauan yang ketat di pintu masuk negara, kita bukan sahaja bakal dibanjiri barangan murah dari luar, malah berisiko mematikan industri tempatan sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar penguatkuasaan kastam diperhebat, dengan pemantauan rapi terhadap manipulasi asal negara dan penyeludupan rentas sempadan yang boleh memanipulasi sistem perdagangan bebas.
“Mekanisme perdagangan seperti tindakan antilambakan dan langkah perlindungan perlu bersedia untuk diaktifkan pada bila-bila masa,” katanya.
Dalam tempoh jangka panjang, Thian Lai menggesa kerajaan agar melihat kepada koordinasi rantaian bekalan secara menyeluruh yang merentasi kementerian dan sektor.
Jelas beliau, Malaysia memerlukan sebuah Majlis Rantaian Bekalan Negara yang mampu menangani isu gangguan logistik, sekuriti industri, serta penyesuaian keperluan tenaga kerja dan infrastruktur secara strategik.
Lebih besar daripada itu, beliau melihat tahun 2025 ini di mana Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sebagai peluang emas untuk mengetuai penubuhan platform serantau bagi mengukuhkan rantaian bekalan ASEAN.
“Hanya dengan kesepaduan serantau, Asia Tenggara dapat mengekalkan kedudukannya sebagai hab pengeluaran global yang diyakini,” katanya.
Beliau berkata, berhadapan dengan tarif Trump tersebut, Malaysia tidak boleh sekadar bertindak balas tetapi sebaliknya perlu mendahului permainan tersebut.
“Bagi beliau, tempoh 90 hari ini adalah satu ujian kebijaksanaan dan kecekapan pentadbiran negara sama ada kita mampu memanfaatkan ruang sempit ini untuk membina daya tahan industri, atau sekadar menunggu krisis seterusnya tiba,” katanya. – Edisi 9

