Thursday, June 4, 2026

MCMC, MARA bekerjasama tingkat capaian internet di IPMA

Kerjasama itu juga merangkumi pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang merupakan program kesedaran dengan modul baharu yang sesuai untuk warga kerja dan pelajar institut pengajian tinggi.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

KUALITI capain internet di institusi pendidikan MARA (IPMA) di seluruh negara akan dipertingkatkan bagi mempermudahkan pembelajaran para pelajar, urusan harian serta meningkatkan penyampaian awam.

Inisiatif yang melibatkan 11 institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu hasil kerjasama strategik antara agensi tersebut dan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kerjasama strategik yang seiring dengan nilai kesejahteraan Malaysia MADANI ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara MCMC dengan MARA dalam meningkatkan kualiti capaian Internet di institusi pendidikan MARA di seluruh negara,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MCMC dan MARA berlangsung dalam satu majlis di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Institusi pendidikan MARA terlibat ialah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA-Japan Industrial Institute (MJII), Kolej Profesional MARA (KPM), UPTM, Kolej Profesional MARA, Kolej MARA, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German-Malaysian Institute (GMI) dan GIATMARA.

Menurut MCMC, kerjasama itu juga merangkumi pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang merupakan program kesedaran dengan modul baharu yang sesuai untuk warga kerja dan pelajar institut pengajian tinggi.

Selain itu, penyediaan khidmat konsultasi bagi penambahbaikan liputan mudah alih dan jalur lebar berasaskan gentian optik, serta eksplorasi teknologi di kawasan kurang liputan turut diberikan.

“Inisiatif ini juga merangkumi pembangunan usahawan melalui pembudayaan ICT dan e-dagang, serta program peningkatan kompetensi dan penyelidikan dalam bidang keselamatan siber bagi melahirkan bakat yang memenuhi keperluan industri digital,” kata MCMC.

Sebagai langkah permulaan, dalam memastikan liputan Internet berkualiti tinggi, MCMC telah menjalankan pemeriksaan status liputan Internet di KPM Ayer Molek.

Pada hujung tahun lalu, di bawah satu pelan tindakan khas, pihak telco telah memasang Portable Base Station bagi liputan Internet sementara manakala struktur menara yang tetap akan dibina untuk memberikan liputan yang menyeluruh di KPM Ayer Molek.

MCMC berkata, kerjasama tersebut diharap dapat memperkasa infrastruktur digital MARA dalam memastikan liputan Internet berkualiti tinggi di premis MARA dan menyokong pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi yang lebih efisien.

Katanya, MoU itu juga merangkumi pembangunan modal insan digital bertanggungjawab dan berdaya saing dalam kalangan warga MARA, termasuk menjadi pengguna digital yang celik siber, serta memiliki kemahiran dalam ICT, e-dagang, dan keselamatan siber bagi menyokong keperluan industri pada masa hadapan. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan