MALAYSIA dan Filipina mengadakan satu sesi pertemuan khas bagi membincangkan langkah-langkah mempertingkatkan keselamatan perairan dan menangani ancaman rentas sempadan dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau.
Pertemuan tersebut sempena lawatan ulung kapal peronda luar pesisir BRP Gabriela Silang (OPV-8301) milik Philippine Coast Guard (PCG) ke Malaysia yang diketuai oleh Rear Admiral Hostillo Arturo E. Cornelio.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang maritim, pembangunan modal insan, serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan maritim, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Laut Sulu dan Laut Celebes.
Beliau berkata, pertemuan selama satu jam itu turut menghasilkan beberapa kata sepakat yang signifikan untuk memperkukuhkan lagi diplomasi maritim antara kedua-dua buah negara.
“Kerjasama serantau yang mantap adalah kunci untuk menangani pelbagai cabaran maritim, terutamanya isu pemerdagangan manusia, penyeludupan dan ancaman keselamatan bukan konvensional,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain pertemuan tersebut, delegasi PCG turut mengadakan latihan Table Top Exercise (TTX) di atas kapal BRP Gabriela Silang, melibatkan Maritime Rescue Coordination Center (MRCC) Putrajaya dan MRCC Filipina.
Latihan yang dipimpin oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana (BCLBB), Kepten Maritim Mohd Ariz Md Kassim itu bertujuan menilai keupayaan respons dan memperkukuh jaringan komunikasi serta prosedur operasi maritim di antara kedua-dua negara.
Delegasi PCG turut mengadakan lawatan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) serta diberikan taklimat mengenai operasi, aset serta demonstrasi penyelamatan oleh Rescue Swimmer.
Terdahulu, ketibaan kapal BRP Gabriela Silang pada Selasa lalu disambut dengan iringan muzik patriotik oleh pasukan pancaragam Maritim Malaysia di Port Klang Cruise Terminal (PKCT) menandakan permulaan lawatan yang penting dalam memperkukuh sinergi maritim antara Malaysia dan Filipina.
Kerjasama seperti itu adalah bukti komitmen kedua-dua negara dalam menjaga keselamatan perairan serantau dan memastikan kelestarian sumber laut serta menjamin keamanan bagi generasi akan datang. – Edisi 9

