UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Southeast Asian Ministers of Education Organization Regional Centre for Special Educational Needs (SEAMEO-SEN) memperkukuh kerjasama strategik terutama dalam bidang pendidikan khas dan inklusif di rantau Asia Tenggara.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, antara cadangan kerjasama lain yang diketengahkan termasuk perkongsian fasiliti serta program latihan melalui pusat CIRCLE UPSI, penerbitan jurnal atau modul latihan secara bersama, dan pelaksanaan program mobiliti staf serta pelajar.
Beliau berkata, UPSI kekal komited untuk menjadi rakan strategik kepada SEAMEO-SEN dalam memacu dasar dan amalan pendidikan khas serta inklusif di Malaysia dan rantau ini.
“UPSI juga kini terlibat dalam projek penyelidikan pendidikan inklusif bersama SEAMEO-SEN dan University of Minnesota, yang telah bermula tahun ini. Ini adalah contoh cemerlang kerjasama tiga pihak antara institusi tempatan, serantau dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan delegasi SEAMEO-SEN yang diketui Timbalan Pengarahnya, Dr. Mohd Azlis Sani Md Jalil di Tanjung Malim, Perak semalam.
Md Amin berkata, UPSI sentiasa memberikan perhatian serius terhadap pembangunan pendidikan khas kerana percaya bahawa pendidikan berkualiti dan inklusif adalah hak setiap individu, tanpa mengira
latar belakang atau keupayaan.
Katanya, komitmen UPSI dalam bidang tersebut dizahirkan melalui penubuhan Centre for Inclusive Research on Community and Disability (CIRCLE), iaitu pusat kecemerlangan yang memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan ke arah pemerkasaan komuniti serta individu berkeperluan khas.
“Melalui Fakulti Pembangunan Manusia UPSI (FPM) dan Jabatan Pendidikan Khas, UPSI terus menerajui latihan guru, pembangunan profesional dan kajian dalam pendidikan khas. Kolaborasi bersama SEAMEO SEN pastinya mampu memperkukuh lagi usaha ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Azlis Sani berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif UPSI dalam memperkukuh pendidikan inklusif dan melihat potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai aspek.
“UPSI merupakan antara rakan strategik penting kami di Malaysia. Kami melihat banyak ruang kerjasama yang boleh diterokai khususnya dalam penyelidikan bersama, pembangunan modul latihan dan juga pertukaran kepakaran,” katanya.
Beliau berkata, SEAMEO-SEN sedia menyokong inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh UPSI khususnya melalui pusat CIRCLE, dalam usaha memperkasa komuniti berkeperluan khas. – Oleh BAZLI RAZAK/Edisi 9

