Monday, June 15, 2026

Felda perlu ‘lepaskan’ entiti komersial, kembali ke peranan asal

Peluang komersial perlu diserahkan kembali kepada Koperasi Permodalan Felda (KPF) sebagai wakil ekonomi peneroka.

Mesti Baca

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu melepaskan entiti komersial dan kembali kepada peranan asalnya iaitu pembangunan tanah dan kesejahteraan peneroka.

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, ini Felda tidak lagi sesuai untuk terus menggalas peranan sebagai entiti komersial.

Sebaliknya, menurut beliau, peluang komersial perlu diserahkan kembali kepada Koperasi Permodalan Felda (KPF) sebagai wakil ekonomi peneroka.

Manakala Felda pula, katanya, memberi fokus kepada peranan asal iaitu menumpukan kepada kepada usaha pembangunan sosioekonomi peneroka, peningkatan produktiviti ladang dan kesejahteraan komuniti.

“Peranan KPF sebagai pemacu ekonomi masa depan peneroka amat sesuai (memandangkan) KPF kini mempunyai 255,081 ahli, merangkumi 225,221 peneroka Felda dan 29,860 kakitangan Felda dan FGV,” katanya menerusi Facebooknya, semalam.

Sulong Jamil berkata, KPF pernah menjadi pemegang saham majoriti Felda Holdings Berhad (FHB) dengan 51 peratus pegangan sebelum penyenaraian FGV pada tahun 2012.

Selepas itu, katanya, pegangan tersebut dipindahkan sepenuhnya dan Felda yg tidak pernah menjadi pemegang majoriti sebelum ini, kini memiliki majoriti saham FGV.

“Untuk mengukuhkan ekonomi peneroka, KPF perlu mengembalikan kedudukannya sebagai pemegang utama FGV agar peneroka kembali mempunyai pemilikan ekonomi dalam syarikat yang memproses hasil sawit mereka lebih 40 tahun,” katanya.

Sementara itu, beliau menyambut baik langkah penubuhan Syarikat Pemacu Makanan Madani (SPMM) hasil kerjasama FGV, KPF dan syarikat yang dipilih kerajaan.

Katanya, SPMM diwujudkan bagi mengendalikan agenda keselamatan makanan negara menerusi pengeluaran dan pengedaran beras, gula, minyak masak, tepung dan roti serta menawarkan peluang pekerjaan kepada generasi kedua, ketiga dan keempat warga Felda.

“Lebih penting lagi, saya difahamkan kerjasama ini juga berpotensi untuk menyelesaikan masalah kewangan KPF bagi melunaskan hutang penebusan saham ahli sebayak RM300 juta.

“Hasil penggabungan KPF, FGV dan syarikat yang dipilih oleh kerajaan itu, SPMM dijangka akan menerima suntikan dana daripada syarikat yang dipilih kerajaan antara RM500 juta hingga RM1 bilion,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh sebulan kepada pengurusan Felda untuk mengemukakan pelan tindakan baharu bagi menentukan hala tuju badan berkenaan agar lebih berdaya saing.

Perdana Menteri berkata, Felda tidak boleh kekal dalam bentuk dan kaedah hala tuju sedia ada, sebaliknya ia perlu diubah bagi memastikan entiti itu mampu terus kekal dan memperoleh keuntungan pada masa depan.

“Dalam keadaan geopolitik tidak menentu ini, kita harus siapkan diri untuk berdepan dengan keadaan yang lebih mencabar.

“Saya beri tempoh satu bulan untuk pengurusan (kemukakan pelan hala tuju)… saya akan pastikan seluruh kekuatan dan jentera daripada kerajaan, Kementerian Kewangan dan pakar-pakar lain untuk memastikan bahawa kita puas hati dengan pendekatan, hala tuju baharu dalam masa singkat ini,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan