MUFG Bank (Malaysia) Berhad, anak syarikat Mitsubishi UFJ Financial Group, Inc. (MUFG), berjaya menghimpunkan lebih daripada 100 pemimpin perniagaan, pembuat dasar, pakar industri dan rakan strategik ke persidangan MUFG N0W di Kuching, Sarawak.
MUFG N0W, atau Net Zero World, ialah platform utama bank tersebut bagi rangkaian serantau dan kepimpinan yang bertujuan menggerakkan maklum balas kolektif daripada sektor swasta dan awam terhadap cabaran serta peluang dalam pembangunan mapan Asia.
Persidangan yang berlangsung di Kuching kali ini adalah lanjutan daripada kejayaan persidangan MUFG N0W yang pertama di Malaysia pada Mac tahun lalu.
Dianjurkan bersama oleh pasukan kewangan ESG MUFG bagi rantau Asia Pasifik dan anak syarikatnya di Malaysia, acara ini dihadiri oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Abdul Aziz Husain dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.
Pemimpin industri dalam sektor tenaga lestari, kewangan dan teknologi turut hadir bagi membincangkan aspek pemerkasaan tenaga hijau serta strategi nyahkarbonisasi masa depan.

Abdul Aziz dalam ucaptamanya menekankan peranan utama agensi itu dalam menyokong Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 serta komitmennya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050
“Dengan kerjasama rakan antarabangsa termasuk Jepun, SEDC menerajui inisiatif inovasi hidrogen hijau, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam tenaga mapan.
“SEDC komited dalam penggunaan teknologi canggih dan membina kerjasama global bagi memastikan Sarawak terus menjadi pemimpin dalam tenaga bersih dan kelestarian,” kata beliau.
Sementara itu, Sikh Shamsul Ibrahim pula berkata, transformasi hijau di Malaysia bukan sekadar aspirasi tetapi ia adalah satu keperluan.
Beliau berkata, melalui pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan, kerjasama strategik dengan MUFG serta komitmen organisasi seperti SEDC Sarawak dan Sarawak Energy, Malaysia sedang membina masa depan yang mapan.
Ini katanya, dengan menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, sambil menangani dilema tenaga iaitu kecekapan kos, keselamatan tenaga dan kelestarian alam.
“MIDA komited untuk membantu dan bersedia untuk memberikan sokongan kepada anda, dari peringkat konseptualisasi projek hingga pelaksanaan.
“Kami mengalu-alukan kerjasama anda untuk meneroka bagaimana kami boleh memudahkan perjalanan pelaburan hijau anda di Malaysia,” tambah beliau.
Minggu lalu, MUFG juga telah menandatangani MoU dengan AFFIN Bank, yang sebahagian besarnya dimiliki oleh Sarawak, bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk hubungan perniagaan Malaysia-Jepun dan transformasi hijau.
Ketua Pegawai Eksekutif MUFG Malaysia dan Ketua Negara, Motohide Okuda berkata, sokongan MUFG terhadap aspirasi pertumbuhan Sarawak sejajar dengan komitmen mereka yang lebih luas terhadap Malaysia.
Beliau berhasrat memanfaatkan kepakaran dalam pembiayaan ESG serta rangkaian serantau bagi memperkukuh kerjasama yang dapat menyokong matlamat negeri itu dalam pembangunan mampan dan inovasi hijau.
“Persidangan MUFG N0W kali ini membuktikan keupayaan kami dalam menghubungkan teknologi terbaik dari Jepun dengan kekayaan sumber tenaga hijau di Malaysia bagi membuka peluang pertumbuhan baharu yang lebih menarik.
“Kami bergerak seiring dengan Visi Kelestarian Sarawak 2030 dan akan terus memudahkan perkongsian awam-swasta untuk mencipta masa depan yang lebih inklusif dan cerah bagi Jepun, Malaysia dan Asia,” katanya. – Edisi 9

