Thursday, June 4, 2026

Gobind Pengerusi baharu DAP, Shahrezan, Rara wakil Melayu

Anthony Loke Siew Foke pula kekal sebagai Setiausaha Agung DAP setelah menduduki tempat kelima dalam pemilihan parti itu.

Mesti Baca

BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng gagal mempertahankan jawatan sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP apabila tempatnya diambil alih oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Sebaliknya Ahli Parlimen Bagan itu hanya dilantik sebagai Penasihat DAP pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang berlangsung malam ini.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara memperoleh undian tertinggi pada pemilihan CEC sempena Kongres Kebangsaan DAP Ke-18 yang berlangsung di Shah Alam, hari ini.

Ahli Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke pula kekal sebagai Setiausaha Agung DAP setelah menduduki tempat kelima dalam pemilihan parti itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi, Shahrezan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman (Rara) merupakan wakil Melayu yang berada dalam barisan CEC parti kali ini.

Shahrezan dilantik sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan DAP bersama Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim serta EXCO Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar.

Manakala Young Syefura pula dilantik sebagai Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan bersama Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP bagi menggantikan Gobind.

Dalam pada itu, dua pemimpin kontroversi, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Bagan, RSN Rayer tewas dalam pemilihan kali ini.

Turut kecundang Timbalan Menteri Kewangan yang juga adik kepada Guan Eng, Lim Hui Ying serta Timbalan Setiausaha Agung DAP yang juga bekas Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Seramai 70 pemimpin bertanding bagi merebut 30 kerusi CEC pada pemilihan parti kali ini dengan rata-rata calon berstatus menteri dan timbalan menteri selain ahli-ahli Parlimen serta EXCO kerajaan negeri. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan