Sunday, July 19, 2026

PRK Ayer Kuning: BN umum calon 5 April, PN 20 April

Kita ada banyak calon yang boleh diketengahkan, belum ada senarai pendek lagi dan paling penting calon itu calon tempatan - Muhammad Sanusi

Mesti Baca

BARISAN Nasional (BN) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 5 April manakala Perikatan Nasional (PN) akan melakukannya pada 20 April.

Demikian dinyatakan oleh jurucakap kedua-dua parti itu dalam majlis yabng berbeza hari ini.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilapor berkata, pada hari yang sama, mereka turut akan melancarkan jentera pilihan raya bagi PRK tersebut.

“Sebelum hari penamaan calon ini, ada Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Tapah.  Setiap tahun dia buat, jadi kita tumpang.

“Pada 5 April, hari Sabtu itu, kita akan melancarkan jentera dan pada hari yang sama kita akan umumkan nama calon,” katanya seperti dilapor media hari ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula memaklumkan nama calon mewakili parti itu akan diumum selepas mesyuarat khas yang diadakan pada 20 April.

Beliau berkata PN telah mempunyai senarai nama calon yang akan dimuktamadkan pada mesyuarat berkenaan.

“Kita ada banyak calon yang boleh diketengahkan, belum ada senarai pendek lagi dan paling penting calon itu calon tempatan,” katanya selepas pelancaran jentera PN PRK Ayer Kuning.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan