Sunday, June 14, 2026

Lelaki disiasat muat naik isu azan Masjid Ayer Kuning

Kes disiasat di bawah seksyen 233 (1)(a) Akta 588 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000

Mesti Baca

SEORANG lelaki tempatan berusia 47 tahun disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana disyaki memuat naik kandungan palsu berunsur 3R (agama, bangsa, raja-raja) yang menyentuh sensitiviti agama.

Kandungan berkenaan dipercayai dimuat naik menerusi laman aplikasi Facebook miliknya pada 9 Mac lalu yang mendakwa laungan azan melalui pembesar suara di Masjid Ayer Kuning, Tapah, Perak tidak lagi dibenarkan ketika ini.

Sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Balai Polis Taiping semalam manakala telefon bimbit serta satu sim kad milik lelaki terbabit disita bagi tujuan analisis forensik.

Terdahulu, pasukan Penguatkuasa MCMC telah menyerahkan satu notis kehadiran di bawah seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kepada individu terbabit bagi menghadiri sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah seksyen 233 (1)(a) Akta 588 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Seorang lelaki tempatan dirakam percakapan berhubung hantaran berbaur fitnah di media sosial. – Foto: MCMC

“MCMC ingin menasihatkan kepada orang ramai agar menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular dakwaan masjid itu dilarang melaungkan azan menggunakan pembesar suara luar yang ada kaitan dengan isu 3R serta politik, selain kononnya ada penduduk mengadu bunyinya terlalu kuat dan mengganggu. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan