Tuesday, June 16, 2026

Suntikan modal tidak manfaatkan pemegang saham SEB 

Ia adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan membantu menyelamatkan pekerja tempatan yang sekian lama tidak menerima bayaran - Anwar

Mesti Baca

SUNTIKAN modal baharu yang diberikan kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (SEB) tidak sama sekali manfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan syarikat tersebut.

Beliau berkata, pengurusan baharu profesional telah dilantik bagi melaksanakan proses penstrukturan semula syarikat itu.

“Suntikan modal baharu yang diberikan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion kepada SEB adalah khusus untuk pembayaran hutang SEB dengan vendor iaitu melibatkan 2,000 vendor PKS (perusahaan kecil dan sederhana) minyak dan gas tempatan yang majoritinya syarikat bumiputera.

“Suntikan modal ini adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB dan ia adalah untuk membantu dan menyelamatkan pekerja tempatan yang telah sekian lama tidak menerima bayaran bagi perkhidmatan mereka. 

“Ia juga penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, proses audit sememangnya telah dilaksanakan dan ketekunan wajar tambahan akan dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 bilion.

“Selanjutnya, dapatan ketekunan wajar ini akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sama ada tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak,” kata beliau.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan.

Penstrukturan semula SEB telahpun melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah, kata beliau.

Tegas beliau, suntikan kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem minyak dan gas yang strategik untuk ekonomi negara.

Sementara itu, menerusi Facebook beliau, Anwar berkata, dana tersebut bukanlah hangus semata-mata, kerana ia berbentuk pinjaman yang wajib dilangsaikan semula oleh SEB.

“Saya tidak pernah senang dengan budaya menjaga kroni dan mengkayakan tauke besar yang kecundang dek kerakusan serta pengurusan cemerkap. 

“Maka, pelaburan ini sama sekali tidak menepati maksud bailout seperti yang digembar-gemburkan pihak tertentu,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan