TIADA sebarang arahan dikeluarkan berhubung penamatan kontrak secara besar-besaran kakitangan awam yang tidak memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti didakwa.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini berkata, sebaliknya pengurusan kontrak pegawai lantikan Contract of Service (CoS) adalah berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan serta persetujuan kedua-dua pihak.
Sambil merujuk kenyataab media CUEPACS pada 12 Februari lalu mengenai kebimbangan penamatan kontrak 30,000 kakitangan yang tidak memiliki SPM, JPA menjelaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak tepat.
“Berdasarkan rekod JPA, kelulusan Contract of Service (CoS) di bawah peruntukan OS29000 untuk tahun 2024 bagi kakitangan yang tidak memiliki SPM hanyalah sebanyak 2,037 orang,” kata kenyataan itu.
JPA berkata, sehinga 13 Februari lalu pihaknya menerima sebanyak 108 permohonan daripada pelbagai agensi untuk kelonggaran syarat skim perkhidmatan bagi melantik semula pegawai kontrak yang tidak memiliki SPM, susulan daripada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Kata JPA, pelaksanaan SSPA telah menetapkan bahawa 14 Skim Perkhidmatan yang sebelum ini menerima kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dinaik taraf kepada kelayakan masuk SPM.
“Namun demikian, ini tidak bermakna pegawai awam yang sedang berkhidmat dengan kelayakan PMR atau PT3 perlu ditamatkan kontrak,” katanya.
Keputusan itu juga, jelas JPA, bertepatan dengan perubahan sistem pendidikan negara, di mana peperiksaan PMR dan PT3 tidak lagi dilaksanakan. – Edisi 9

