DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan daripada Kerajaan MADANI untuk skuad bola sepak kebangsaan Harimau Malaya tahun ini ditambah daripada RM15 juta kepada RM30 juta.
Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memastikan skuad Harimau Malaya diperkukuh sekali gus muncul sebagai gergasi bola sepak asia.
Beliau berkata, jumlah itu sekali ganda berbanding RM15 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 bagi pembangunan sukan bola sepak manakala RM15 juta lagi akan dibiayai oleh pihak swasta.
“Peruntukan ini akan diguna bagi meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, dana tersebut akan dimanfaatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total dari setiap sudut.
Katanya, ini bagi memastikan para pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik.
Perdana Menteri berkata, usaha juga akan ditumpukan kepada mewujudkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya, dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad bawah-23 negara.
Jelas beliau, ini secara tidak langsung membolehkan pasukan utama sentiasa dilengkapi dengan para pemain yang berpengalaman.
“Selain daripada ikhtiar yang dilakukan oleh Kerajaan MADANI dan FAM, saya juga berharap Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan terus memberikan dukungan berterusan berdasarkan pencapaian, pengalaman serta rangkaian luas Baginda dalam industri bola sepak.
“Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya,” kata Perdana Menteri.
Beliau juga berharap agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan Harimau Malaya termasuk pasukan pengurusan dalam mengangkat nama Malaysia ke peringat tertinggi dan setanding nama besar bola sepak antarabangsa.
Skuad bola sepak kebangsaan sedang mengalami revolusi baharu apabila bekas pemain kebangsaan Kanada yang juga seorang ahli perniagaan, Robert Douglas Friend diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad kebangsaan.
Sebelum itu, FAM turut mengumumkan Peter Cklamovski dari Australia sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan manakala bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC, Nafuzi Zain sebagai jurulatih skuad B-23. – Edisi 9

