KETUA Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berpendirian untuk terus kekal berada di luar Kabinet selagi partinya belum mendapat kepercayaan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berterima kasih kepada Pemuda UMNO Bahagian Subang yang memberikan cadangan dan penghargaan agar beliau dilantik sebagai menteri Kabinet.
Beliau berkata, bukan jawatan yang dikejar tetapi kepercayaan rakyat terhadap parti menjadi keutamaannya buat masa kini.
“Terima kasih UMNO Subang atas cadangan dan penghargaan yang diberikan kepada saya. Tetapi saya memilih untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti saya dengan berada di luar Kabinet.
“Selagi kepercayaan itu belum diperoleh, selagi itulah saya akan berada di luar Kabinet.
“Bukan jawatan yang dikejar, tetapi kepercayaan rakyat kepada parti saya menjadi keutamaan saya buat masa ini. Terima kasih,” katanya hari ini.
Sebelum ini perwakilan UMNO Bahagian Subang menggesa semua Pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara mengangkat usul khas supaya Akmal dilantik sebagai menteri.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah mencadangkan semua UMNO Bahagian yang belum mengadakan mesyuarat supaya menjadikan usul khas itu sebagai usul rasmi dalam mesyuarat bahagian masing-masing.
“Saya melihat sudah dua penggal, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ini tidak diberikan peluang, ruang dan tanggungjawab untuk menggalas jawatan (sama ada) sebagai menteri dan timbalan menteri.
“Saya rasa sudah sampai masa ini dilaksanakan dalam keadaan politik yang semakin dinamik dan progresif ini, dalam keadaan rakyat ingin melihat muka, suara dan pemimpin muka baharu,” katanya seperti dilapor media hari ini.
Akmal hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Subang. – Edisi 9

