Thursday, June 4, 2026

Maritim Malaysia kesan kapal terlibat pelanggaran hilangkan diri

Mesti Baca

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia sedang mengesan salah sebuah daripada dua kapal dagang yang terlibat dalam pelanggaran di 25 batu nautika timur laut Tanjung Balau, Sedili, semalam.

Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim, Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus berkata, ini kerana kapal tersebut didapati telah meninggalkan lokasi pelanggaran.

Beliau berkata, kapal MT Ceres 1 yang didaftarkan di Sao Tome & Príncipe itu didapati telah menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS) namun dipercayai masih berada dalam perairan negara.

“Maklumat dan semakan MRSC Johor Bahru bersama Jabatan Laut Malaysia turut mendapati nombor pendaftaran IMO kapal berkenaan meragukan dan tindakan kapal berkenaan meninggalkan kawasan insiden juga diragui.

“Maritim Malaysia kini dalam usaha menjejaki kapal berkenaan dengan mengatur gerak pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP Maritim Malaysia pada 12 tengah hari tadi bagi tujuan penyelamatan dan siasatan,”katanya dalam sidang media di Tanjung Sedili, hari ini.

Keadaan kapal MT Hafnia Nile yang didaftarkan di Singapura selepas terlibat pelanggaran dengan kapal dagang lain sebelum

Turut hadir Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Kama Azri Kamil dan Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam.

Semalam, Maritim Malaysia melaporkan tentang kejadian dua kapal dagang yang telah berlanggar di 25 batu nautika timur laut Tanjung Balau, Sedili, Johor kira-kira pukul 6.55 pagi.

Ekoran insiden membabitkan MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1 itu, pihak Maritim Malaysia Johor telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) di lokasi berkenaan.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, berikutan insiden tersebut, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili bagi mengkoordinasikan pencarian.

Zin Azman berkata, sebuah lagi kapal MT Hafnia Nile yang didaftarkan di Singapura mengalami terbakar akibat pelanggaran itu namun kesemua 22 kru telah diselamatkan oleh Tentera Laut Singapura dan dibawa ke negara jiran itu untuk rawatan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengatur gerak Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi bersiap sedia untuk menyelamatkan mangsa yang dipercayai masih berada di atas MT Ceres 1.

“Setakat ini, Maritim Malaysia tidak dapat memastikan keadaan sebenar kapal beserta kru MT Ceres 1 memandangkan mereka tidak dapat dihubungi,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan