DUA buah kapal dagang dilapor telah berlanggar di 25 batu nautila timur laut Tanjung Balau, Sedili, Johor kira-kira pukul 6.55 pagi tadi.
Ekoran insiden membabitkan MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1 itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) di lokasi berkenaan.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, berikutan insiden tersebut, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili bagi mengkoordinasikan pencarian.
Beliau berkata, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) telah mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Niah, bot Perkasa 29 serta bot Petir 12 dari Maritim Malaysia ke kawasan berkenaan.
Turut digerakkan ialah KD Gempita dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot ronda PA 9 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2.
“Aset Maritim Malaysia, bot Perkasa 29 telah tiba di lokasi insiden pada pukul 9.50 pagi dan menemui kedua-dua kapal tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan berkenaan insiden tersebut bagi tindakan lanjut sekiranya berlaku tumpahan minyak.
Dalam pada itu, pegawai dan anggota yang bertugas di Pangkalan Maritim Abu Bakar (ABMB) juga diarahkan untuk melaksanakan pemantauan di sekitar kawasan berhampiran.
Saiful berkata, satu sidang media dijangka diadakan di Tanjung Sedili pada esok manakala segala perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Edisi 9

