MALAYSIA muncul juara keseluruhan kejohanan catur jemputan antarabangsa Naga Asia apabila mengungguli kategori remaja dan terbuka yang berlangsung di National Taiwan University, Taipei semalam.
Pemain catur remaja negara, Muhammad Haziq Muhammad Nasruddin berjaya menumpaskan pemain tuan rumah, Pu Yu dengan mengutip mata keseluruhan tertinggi sebanyak 8.5 mata untuk menjuarai kategori bawah 16 tahun.
Manakala wakil negara bagi kategori terbuka pula, Iwan Schani Ibnu dicabar hebat oleh wakil Amerika Syarikat, Jerry Chang sebelum disahkan sebagai pemenang dalam kejohanan anjuran Persatuan Catur Chinese Taipei (CTCA) itu.
Ketua Delegasi Pasukan Catur Malaysia, Noor Hafiz Mohd Nor berkata, pengenalan sukan catur dalam Sukan Malaysia (Sukma) bulan depan telah berjaya membantu meningkatkan prestasi cemerlang atlet negara.
Selain itu, katanya, program-program pemerkasaan komuniti catur digital juga telah banyak menarik bakat-bakat baharu dalam sukan tersebut.

“Kemenangan ini dilihat penting sebagai persiapan ke Kejohanan FIDE World Amateur Chess Championships yang diadakan Oktober ini di Greece,” katanya dalam satu kenyataan.
Kejohanan catur Naga Asia itu disertai 34 peserta dari Macau, Hong Kong, Korea Selatan, Malaysia, Amerika Syarikat dan tuan rumah, Taiwan.
Dalam pada itu, Noor Hafiz merakam penghargaan kepada pelbagai pihak yang emberikan sokongan terutama membantu mereka dalam mempersiapkan diri bagi kejohanan tersebut.
Antaranya ialah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Kementerian Luar Negara, Persekutuan
Catur Malaysia (MCF), Pertubuhan Pemerkasaan Komuniti Malaysia (MPOWER), Kementerian Komunikasi (KK) dan Jabatan Penerangan. – Edisi 9

