KELAB Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara) mengecam kejadian seorang wartawan wanita sebuah stesen televisyen tempatan yang dilaporkan menjadi mangsa gangguan seksual semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeei (DUN) Sungai Bakap.
Presiden Mutiara, Mohd Iskandar Othman berkata, kejadian di luar kawalan itu berlaku ketika sidang akbar bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai Program Majlis Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kechil, malam semalam.
Beliau berkata, kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di saat kumpulan pengamal media sedang mengerah keringat menjalankan tugasan yang diamanahkan.
“Kami juga ingin meluahkan rasa kesal akibat dari kejadian tersebut. Wartawan bukan alat atau objek untuk sesiapa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu beliau berharap pihak polis menjalankan siasatan secara telus dan adil sekali gus mengheret individu terlibat ke muka pengadilan dengan segera.
Pada masa sama, beliau berkata, Mutiara mengingatkan kepada semua petugas media agar menjaga keselamatan diri di saat kempen PRK Sungai Bakap ini bakal melabuhkan tirainya kurang dari tempoh 48 jam.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memandang serius dan mengutuk sekeras-kerasnya insiden tersebut.
Katanya, beliau telah menerima maklumat lanjut berhubung kejadian itu daripada mangsa.
Beliau mengucapkan teriam kasih kepad pihak polis yang memberi jaminan akan menjalankan siasatan terperinci serta telus terhadap kea tersebut.
“Pihak yang melakukan kesalahan perlu segera dibawa ke muka pengadilan.
“Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku sama sekali, apatah lagi ketika pengamal media sedang menjalankan tugas,” katanya menerusi Facebook beliau malam ini. – Edisi 9

