AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menganggap alasan Tan Sri Noh Omar menyertai Bersatu kerana kegagalan Datuk Seri Najib Razak mencabar Titah Adendum di mahkamah sebagai low class.
Ini kerana, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berkata, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang dan ahli MKT UMNO bukanlah penyokong setia Najib.
“Sanggup jual nama Najib untuk lompat parti. Low class punya alasan. Noh Omar bukan die hard Najib. Apa dia boleh buat untuk membela Najib kalau masuk Bersatu?
“(Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) dan Bersatu lagi kuat mahu Najib dipenjarakan. Lagi lama ditahan lagi bagus,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Mohd Puad mengulas pengesahan Noh yang beliau telah menyertai Bersatu berkuat kuasa serta-merta dengan membuat permohonan dalam talian tanpa diketahui sesiapa.
Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat berikutan kecewa dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri itu yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.
“Saya amat sedih dengan nasib ‘Bossku’ (Najib) dan semalam (Rabu) pihak beliau gagal mencabar titah supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah,” katanya seperti dilapor media.
Sehubungan itu, Noh memaklumkan, keputusan itu mendorong beliau mengubah fikiran untuk menjadi ahli Bersatu dan sudah mendapat sijil keahliannya.
Mohd Puad berkata, Noh sebenarnya menyertai Bersatu kerana mengidam menjadi calon kerusi Tanjung Karang yang dijangka akan dikosongkan.
Ini ekoran penyandangnya, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi antara enam Ahli Parlimen yang dilucutkan keahlian Bersatu setelah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Noh dipecat daripada UMNO pada Januari tahun lalu kerana pelanggaran disiplin mengikut Perlembagaan parti itu yang dilakukan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15.
Beliau yang tidak dicalonkan oleh UMNO dalam pilihan raya tersebut didakwa berkempen bagi pihak anaknya, Nurul Syazwani yang bertanding atas tiket Bersatu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dalam Parlimen Tanjong Karang. – Edisi 9

