PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar telah banyak membantu parti itu dalam beberapa siri kempen pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.
Sehubungan itu beliau melihat penyertaan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu dalam Bersatu secara rasmi membuka ruang lebih besar untuk memberi sumbangan lebih bermakna kepada parti tersebut.
“Saya melihat kesediaan Noh menyertai Bersatu secara rasmi adalah satu langkah tepat sekali gus membuka ruang kepada beliau untuk memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada parti.
“Saya berdoa semoga hijrah beliau ke dalam wadah parti Bersatu akan meningkatkan lagi sokongan rakyat kepada parti ini dan memperkukuhkan saf perjuangan PN (Perikatan Nasional) menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Noh mengesahkan telah menyertai Bersatu dengan mengisi borang secara dalam talian tanpa diketahui sesiapa.
Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat berikutan kecewa dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri itu yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menganggap penyertaan Noh secara rasmi ke dalam Bersatu kerana mengidam untuk kembali menjadi calon di Parlimen Tanjong Karang.
Ini ekoran penyandangnya, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi antara enam Ahli Parlimen yang dilucutkan keahlian Bersatu setelah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Noh dipecat daripada UMNO pada Januari tahun lalu kerana pelanggaran disiplin mengikut Perlembagaan parti itu yang dilakukan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15.
Beliau yang tidak dicalonkan oleh UMNO dalam pilihan raya tersebut didakwa berkempen bagi pihak anaknya, Nurul Syazwani yang bertanding atas tiket Bersatu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dalam Parlimen Tanjong Karang. – Edisi 9

