SEORANG banduan warga asing yang dipercayai melarikan diri daripada Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin, Nilai berjaya diberkas polis di Kilometer 29 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, banduan lelaki berumur 39 tahun itu ditahan pada jam 10 malam sekitar 2 kilometer dari pusat berkenaan.
“Sebelum itu, pihak polis menerima laporan daripada pegawai Jabatan Penjara mengenai kejadian tersebut kira-kira tiga jam.
“Selepas menerima laporan pada jam 6.55 petang, anggota dari ibu pejabat polis daerah Nilai melancarkan Ops Tutup dengan membuat rondaan bermotosikal bagi mengesan banduan itu,”katanya menerusi kenyataan di sini
Katanya, daripada siasatan mendapati banduan itu ditempatkan di pusat berkenaan sejak 19 Jun lepas bagi proses pengusiran pada 9 Sept ini.
“Banduan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan pada 2017 atas kesalahan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh,” katanya.
Abdul Malik berkata, suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.- Edisi 9