33.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

SKMM harus berhenti daripada bertindak sebagai ‘Big Brother’

Mesti Baca

TOKOH-TOKOH kewartawan negara ini membantah tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertindak seolah-olah ‘Big Brother’ (Abang Besar) dengan sewenang-wenang menyekat kandungan dalam talian.

Mereka bimbang tindakan SKMM yang memanggil pengamal media untuk memberi penjelasan mengenai kandungan yang mereka bawa menerusi portal berita dan laman dalam talian mereka.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai “menyinggung” itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Tokoh-tokoh kewartawanan dan pengarang kanan media terbabit ialah Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Dr Chamil Wariya, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran.

Berikut kenyataan penuh mereka:

Kami sama sekali tidak bersetuju dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang kebelakangan ini bertindak seolah-olah sebagai “Big Brother” (Abang Besar) dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian.

Kami bimbang sejak akhir-akhir ini pengamal media telah dipanggil oleh SKMM untuk memberi penjelasan mengenai kandungan yang mereka bawa menerusi portal berita dan laman dalam talian mereka.

Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai “menyinggung” itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.

Advertisements

Kami sama sekali tidak dapat menerima sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti SKMM untuk menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian.

Kita telah melihat bagaimana kerajaan-kerajaan terdahulu, walaupun hanya kerana aduan kecil daripada orang ramai atau pihak elit pemerintah, telah diambil tindakan dengan pantas walaupun tindakan seumpama itu tidak perlu sama sekali.

Kerajaan pada hari ini dipilih atas janji untuk membolehkan pengaliran maklumat yang bebas dan untuk menjamin kebebasan mediq.

Aduan daripada para pengamal media bahawa laman web mereka telah disekat semakin meningkat. Ia adalah trend tidak sihat yang mesti dihentikan serta-merta.

Kami percaya bahawa badan pengawal selia terbabit mempunyai keutamaan yang lain, dan oleh itu, menyekat laman web bukanlah salah satu daripadanya.

Walaupun kami memahami Internet telah menjadi pencetus kebencian dan penyebat maklumat yang salah namun kami percaya pengamal media adalah individu yang berdisiplin dipandu oleh profesionalisme dan etika.

Alam media sosial yang tidak terkawal boleh difahami sebagai masalah. Kami mengakui bahawa maklumat salah dan berita palsu (fake news) sudah sampai pada tahap krisis.

Bagaimanapun kami juga percaya peranan yang harus dimainkan oleh media bebas di negara ini. Kerajaan mesti memastikan ekosistem yang betul dan persekitaran yang kondusif untuk pengamal media bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan