MALAYSIA dan Uzbekistan komited dalam memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian terutamanya bagi menjamin sumber bekalan makanan yang stabil dan berkualiti.
Perkara itu disepakati ketika kunjungan hormat Duta Besar Uzbekistan, Ravshan Usmanov bersama delegasinya ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam satu kenyataan berkata, agenda perbincangan menjurus kepada prospek akses pasaran baharu produk pertanian.
Katanya, ia meliputi produk tambah nilai daripada daging ayam dan daging lembu termasuk produk sarang burung.
“Selain itu, perbincangan juga berkisar mengenai cadangan Uzbekistan Center of Knowledge and Innovation in Agriculture untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutamanya berkaitan beras, hortikultur dan baja,” katanya.
Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu turut dihadiri oleh pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta jabatan dan agensi di bawahnya.
Kementerian itu berkata, semasa pertemuan ini juga, Duta Besar Republik Uzbekistan itu menyampaikan jemputan daripada Menteri Pertanian Uzbekistan kepada Mohammad untuk menghadiri International Conference on Food Security (ICFS) yang dijadualkan pada September ini di Samarkand, Uzbekistan.
“ICFS ini adalah julung- julung kali diadakan dan dianjurkan Kerajaan Uzbekistan dengan kerjasama Food and Agriculture Organisation (FAO),” katanya. – Edisi 9