PROGRAM subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) terus diperluas apabila kerajaan kini meluluskan kelayakan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak, selain menaikkan siling penggunaan untuk pemandu e-panggilan sepenuh masa kepada 600 liter sebulan.
Langkah itu merupakan penambahbaikan terbaharu selepas kelayakan sama diaktifkan minggu lalu kepada pengguna bot di Sabah serta mereka yang berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), berdasarkan data daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi kerajaan negeri berkaitan, seramai lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak kini layak menikmati manfaat di bawah skim subsidi tersebut.
“Dalam masa sama, lebih 53,900 pemandu e-panggilan sepenuh masa akan menerima kenaikan siling kelayakan kepada 600 liter sebulan, hasil semakan silang data antara MoF dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” kata MoF dalam kenyataan hari ini
Selain itu, katanya, lebih 11,400 pemegang lesen memandu baharu dan diperbaharui turut layak menerima BUDI95, menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia kini mendapat manfaat daripada inisiatif itu.
Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, telus dan menyeluruh, dengan MoF serta agensi berkaitan akan terus memantau dan menambah baik program berkenaan dari semasa ke semasa.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut atau semakan kelayakan melalui portal rasmi BUDI MADANI, talian bantuan 1-300-88-9595, atau WhatsApp +603-2631 4595.
Portal tersebut turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi melalui MyDigital ID bagi menjamin keselamatan data peribadi pengguna. — Edisi 9

