KETIADAAN para pemain warisan dari Amerika Latin nyata menjadi rezeki buat pemain naturalisasi terbaharu, Jordan Mintah untuk beraksi buat kali pertama bersama skuad Harimau Malaya.
Mintah, 30, yang baharu selesai proses dokumentasi antara 29 pemain yang dipanggil Peter Cklamovski menghadapi perlawanan bertemu Laos dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 bulan ini.
Pemain kelahiran Ghana itu mula beraksi dalam Liga Malaysia bersama Terengganu FC sejak 2020 hingga 2023 sebelum berpindah ke Kuching City FC musim lalu sehingga kini.
Turut dipanggil ialah pemain JDT yang kini dipinjamkan kepada Kuching City FC, Ramadhan Saifullah serta pemain B-23 dari Selangor, Aliff Izwan Yuslan selain Richard Chin dan Declan Lambert dalam kem latihan pusat bermula 6 Oktober ini.
Malaysia akan menghadapi Laos di Vientiane pada 9 Oktober sebelum menerima kunjungan balas di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Oktober.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara berdepan tindakan tegas selepas Jawatankuasa Disiplin FIFA mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Berikutan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.85 juta) kepada FIFA.
Manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 (RM10,500) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta. — Edisi 9

