Sunday, July 19, 2026

PM beri jaminan gembleng segala upaya bebaskan aktivis GSF

Sebagai Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara, Anwar turut menitipkan salam kepada keluarga delegasi Malaysia.

Mesti Baca

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedang menggembleng segala daya dan upaya untuk membebaskan semua aktivis dan sukarelawan Malaysia yang kini ditahan secara tidak sah di Israel tanpa kompromi.

Jaminan itu disampaikan Perdana Menteri ketika berhubung dengan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby hari ini.

“Saya memberi jaminan bahawa segala daya dan upaya sedang digembleng bagi memastikan semua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan segera tanpa sebarang kompromi,” kata Anwar menerusi media sosialnya hari ini.

Seramai 23 aktivis dan sukarelawan dari Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza kini ditahan tanpa sah oleh pihak berkuasa Israels

Ini setelah kapal-kapal yang mereka naiki dipintas oleh tentera rejim Zionis itu di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean kira-kira 100 batu nautika dari perairan Gaza.

Mereka yang ditahan terdiri daripada kalangan selebriti, pempengaruh media sosial, wakil NGO dan sukarelawan perseorangan.

Anwar berkata, sebagai Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara, beliau turut menitipkan salam kepada keluarga delegasi Malaysia.

Beliau turut menasihati ahli keluarga yang terlibat agar menjaga keadaan kesihatan dan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian sepenuhnya.

Semalam, Anwar berkata, beliau dan kerajaan Malaysia sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk menerusi saluran diplomatik dalam usaha memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN dan antarabangsa dibebaskan dengan segera.

Beliau berkata, Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban rejim zionis, khususnya apabila warganegara kita terlibat. 

“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan