Sunday, July 19, 2026

PKR Selangor sokong Nurul Izzah calon Timbalan Presiden

Parti itu memerlukan pemimpin yang memahami denyut nadi anggota, bersedia mendengar akar umbi dan tahu meletakkan parti mengatasi kepentingan peribadi.

Mesti Baca

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Selangor hari ini menzahirkan secara terbuka menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden parti itu dalam pemilihan tahun ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, parti itu bukan hanya memerlukan pemimpin yang mahir berpidato atau memenangi kerusi tetapi yang memahami denyut nadi anggota, bersedia mendengar akar umbi dan tahu meletakkan parti mengatasi kepentingan peribadi.

“Parti ini perlu seorang Timbalan Presiden yang tidak terikat dalam pentadbiran kerajaan, tetapi boleh memberi fokus kepada mengukuhkan kekuatan dalaman parti.

“Kita perlukan sosok yang boleh memberi sepenuh tenaga untuk mempersiapkan PKR menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan strategi kukuh, struktur tersusun dan semangat anggota yang segar,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Naib Presiden PKR itu berkata, Nurul Izzah bukan orang baharu sebaliknya beliau telah berjuang sejak muda, menjadi suara anak muda dalam zaman penuh getir, ditahan, dihina, namun tidak pernah meninggalkan medan perjuangan.

Anak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, kata beliau, membina nama bukan kerana nama keluarganya, tetapi kerana keteguhan prinsip dan keberanian berdiri untuk kebenaran.

Amirudin berkata, beliau juga telah membuktikan kredibilitinya dalam dua penggal sebagai Ahli Parlimen, sebagai Naib Presiden parti, serta sebagai pemikir dasar yang komited.

“Dalam dan luar negara mengiktiraf ketokohan beliau, tetapi yang paling utama anggota parti tahu siapa beliau, dan tahu apa yang telah beliau korbankan untuk PKR.

“Kita perlukan kepimpinan yang bersedia ‘toe the line’ bersama anggota, yang faham denyut nadi parti dan yang tidak meletakkan diri di atas, tetapi di sisi perjuangan rakyat,”katanya.

Pencalonan Nurul Izzah juga, kata beliau, bukan soal mewarisi nama tetapi soal membina semula semangat, harapan baharu, menyatukan idealisme reformasi dengan realiti politik masa kini serta menyambung api perjuangan dengan keikhlasan dan tanggungjawab.

“Saya yakin, dengan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden, kita dapat menyusun semula barisan yang kuat, menyemai semula kepercayaan rakyat, dan memastikan PKR kekal relevan, progresif dan berwibawa.

“Kepimpinan Presiden memerlukan gandingan yang mantap dan Nurul Izzah mampu menjadi rakan setia, penasihat jujur dan tenaga penggerak yang berani menyatakan kebenaran demi parti,”katanya.

Pencalonan Nurul Izzah turut mendapat sokongan Wanita PKR beberapa cabang dan negeri antaranya Pulau Pinang dan Kelantan selain beberapa pemimpin parti itu.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kini sedang bercuti selama sebulan didakwa ada kaitan dengan kekalahan besar pasukannya dalam pemilihan peringkat cabang seluruh negara. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan