“KAMI bukan kedai runcit!” Demikian ditegaskan kumpulan doktor swasta yang membantah penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang dikenakan ke atas klinik-klinik dan hospital swasta mulai 1 Mei lalu.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R. Thirunavukarasu berkata, banyak persoalan telah dibangkitkan mengenai asas penggunaan Akta 723 serta kaedah pelaksanaannya, namun sehingga kini tiada sebarang penjelasan diberikan.
Sehubungan itu beliau mendesak kerajaan menyemak semula penggunaan Akta 723 terhadap profesion perubatan yang didakwa dilaksanakan tanpa rundingan dan libat urus.
“Walaupun persatuan perubatan menyokong prinsip ketelusan harga ubat, kami membantah keras Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) yang sedang dikuatkuasakan ke atas klinik swasta di bawah Akta 723 tanpa sebarang rundingan atau libat urus dengan warga perubatan yang terkesan.
“Kenapa kita tolak? Ini kerana kita adalah perkhidmatan profesional. Kalau kita lihat kedai runcit, mereka jual barang manakala kita menawarkan perkhidmatan profesional, kami bukan kedai runcit,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum itu, beliau bersama lebih 200 doktor swasta yang mewakili beberapa pertubuhan doktor-doktor perubatan dan individu berhimpun bagi menyatakan bantahan mereka.
Dr Thirunavukarasu berkata, penggunaan Akta 723 dilihat tidak sesuai digunakan untuk persekitaran klinikal.
“Pengawalseliaan ketelusan dan paparan harga ubat di klinik swasta seharusnya tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan bukannya Akta 723.
“Akta 586 digubal khusus untuk mengawal selia kemudahan kesihatan swasta dengan mengambil kira tadbir urus klinikal, keselamatan pesakit dan keadilan harga,” jelas beliau.
Katanya, pelaksanaan peraturan paparan harga di bawah undang-undang perdagangan yang direka untuk kawalan harga peniaga adalah tidak bersesuaian.
“Ia boleh mengakibatkan kesan tidak diingini, seperti pesakit membuat keputusan semata-mata berdasarkan harga dan bukannya nasihat profesional perubatan,” katanya.
Beliau berkata, satu mesyuarat advokasi oleh Kementerian Kesihatan pada Februari 2025, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad secara jelas menyatakan bahawa pelaksanaan ketelusan harga ubat di klinik swasta hanya akan berlaku selepas semakan semula yuran konsultasi yang telah lama tertangguh.
“Yuran konsultasi untuk GP swasta telah dicadangkan oleh MMA pada tahun 1992 dan kemudian diterima pakai di bawah Akta 586 apabila digazetkan pada 2006.
“Yuran tersebut ditetapkan antara RM10 hingga RM35 di bawah Jadual Ketujuh dan tidak pernah disemak selama lebih 33 tahun.
“Kadar ini tidak lagi mencerminkan realiti kos operasi, inflasi, kenaikan gaji kakitangan, penggunaan teknologi, keperluan kawal selia dan keperluan dokumentasi serta pendigitalan,” katanya.
Terdahulu, seramai 200 doktor swasta berhimpun di hadapan bangunan Perdana Putra bagi menyertai 11 persatuan perubatan yang diketuai oleh MMA bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bermula 1 Mei lalu, semua klinik dan farmasi swasta memaparkan harga ubat-ubatan dengan tujuan meningkatkan ketelusan dan membantu pengguna membuat pilihan berdasarkan harga.
Langkah itu dilaksanakan mengikut Akta 723 dengan objektif meningkatkan ketelusan dalam urus niaga dan membolehkan pengguna membuat perbandingan harga. – Edisi 9

