25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Peraturan dan penguatkuasaan perlu lebih ketat lagi – MMA

Mesti Baca

PERATURAN lebih ketat serta penguatkuasaan terhadap industri kecantikan dan estetika selepas kes kematian akibat komplikasi daripada prosedur perlu dilaporkan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, beberapa kejadian membabitkan pusat kecantikan dan estetik yang tidak berlesen atau tidak berdaftar dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Daripada kes yang berlaku, terdapat kekurangan penguatkuasaan dilakukan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau dalam satu kenyataan media berkata, MMA memandang serius kejadian itu dan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk segera mengambil tindakan bagi menangani kebimbangan yang berlaku.

“Untuk memastikan penguatkuasaan yang berkesan, orang ramai juga mempunyai peranan penting dalam membantu pihak berkuasa dengan melaporkan mana-mana pengamal yang tidak berlesen atau tidak berdaftar,” katanya.

“MMA sudah beberapa kali menggesa pihak berkuasa untuk mengekang pusat kecantikan dan estetik tanpa lesen ini, malah pada Ogos tahun lalu juga kami ingatkan perkara yang sama.

“Peningkatan kesedaran awam juga perlu kerana orang ramai mungkin tidak mengetahui siapa yang layak untuk melakukan prosedur estetik perubatan ini,” katanya.

Advertisements

Dr Muruga berkata, prosedur perubatan estetik hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar bertauliah di premis yang berdaftar atau berlesen di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Nama-nama pengamal perubatan akan dipaparkan di Pejabat Pendaftaran Kebangsaan Pengamal Perubatan Berdaftar yang Mengamalkan Amalan Perubatan Estetik di laman web rasmi KKM.

“Doktor dengan surat tauliah (LCP) atau Letter of Credentialing and Privileging tidak layak untuk melakukan pembedahan plastik. Hanya pakar bedah plastik yang layak untuk melakukan pembedahan plastik,” katanya.

Orang awam berisiko mendapat komplikasi serius dan juga kematian jika prosedur estetik perubatan dilakukan secara tidak betul oleh pengamal yang tidak bertauliah dan tidak berdaftar.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia 29 tahun meninggal dunia selepas menjalani pembedahan membesarkan payu dara di Skudai, Johor Bahru.

Pembedahan itu dilaporkan dilakukan di rumah seorang pakar kecantikan.

Terdahulu, pada tahun 2020, seorang wanita berusia 23 tahun meninggal dunia selepas menjalani prosedur sedutan lemak yang dipercayai dilakukan secara haram di sebuah salon kecantikan di Cheras, Kuala Lumpur. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan