SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan berhubung satu hantaran dalam media sosial yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang baru-baru ini.
MCMC berkata, siasatan dilakukan susulan beberapa aduan daripada orang awam berhubung kandungan yang disifatkan menjejaskan imej dan sensitiviti simbol rasmi negara.
Sehubungan itu, seorang individu telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan, manakala sebuah telefon bimbit turut disita.
“Mereka yang berkaitan akan dipanggil jika perlu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
Siasatan itu dipercayai berkaitan logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang mencetuskan kontroversi berikutan memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap baru-baru ini.
Isnin lalu, Pas Terengganu membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kesilapan tersebut dan telah menarik semula penggunaan logo berkenaan dan digantikan dengan versi baharu.
Sekretariat program itu memaklumkan, pihaknya sudah menarik semula penggunaan logo berkenaan dan mengeluarkan versi baharu yang dikemas kini.
MCMC turut mengingatkan bahawa Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan dan perpaduan negara.
Katanya, penggunaan ilustrasi yang tidak tepat, terutama dalam talian, boleh menimbulkan kekeliruan dan menyentuh sensitiviti awam.
Sehubungan itu, suruhanjaya itu menyeru semua pengguna media sosial agar lebih berwaspada dalam menghasilkan dan menyebarkan kandungan, khususnya dalam era penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan penjana kandungan digital.
“Amalan kawal selia kendiri serta semakan fakta yang teliti penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan mengelirukan atau mengganggu keharmonian masyarakat,” tambah kenyataan itu.
MCMC juga menegaskan komitmennya untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu terlibat. – Edisi 9

