Tuesday, July 21, 2026

Peluang Malaysia ketuai pendekatan baharu konflik Myanmar

Malaysia boleh menggunakan gabungan strategi diplomatik, moral dan praktikal yang disesuaikan dengan motivasi setiap pihak untuk membawa mereka yang terlibat ke meja rundingan.

Mesti Baca

Oleh COLLINS CHONG YEW KEAT

KEJAYAAN Malaysia mendapatkan komitmen gencatan senjata daripada junta Myanmar dan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) kekal sebagai satu strategi dan pendekatan baharu yang penting dalam menangani kebuntuan yang selama ini kekal beku dan tepu akibat ketidakupayaan pendekatan status quo untuk mengubah hala tuju konflik di negara itu.

Pendekatan Malaysia terhadap krisis Myanmar, seperti yang dilihat dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin junta Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan wakil NUG di Bangkok, mencerminkan satu tindakan imbangan yang pragmatik namun berhati-hati.

Ini penting kerana ia memperlihatkan kepimpinan dan kesediaan Malaysia untuk mengambil alih dan memimpin kumpulan tersebut dalam mencari jalan lain yang bukan konvensional untuk mencapai kejayaan, dan bukannya terikat dan dibelenggu oleh model konvensional masa lalu yang telah gagal.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berusaha memanfaatkan kedudukan diplomatiknya untuk menangani konflik awam di Myanmar dan memberi keutamaan kepada bantuan kemanusiaan serta lanjutan gencatan senjata, sambil menyedari dinamika dalaman ASEAN yang kompleks serta status ‘pariah’ junta dalam blok itu tetap menjadi halangan utama.

Status ‘pariah’ ini merupakan salah satu sekatan dalam mendapatkan respons bersatu oleh ASEAN terhadap konflik ini, dan juga menghalang keberkesanan Five-Point Consensus (5PC).

Malaysia membentuk penglibatannya sebagai respons terhadap gempa bumi Mac 2025 dan krisis kemanusiaan sedia ada akibat perang saudara, yang akan memudahkan pencarian titik persamaan untuk dialog.

Gempa yang melanda Myanmar memudahkan proses mencari perdamaian di negara itu. – Foto Agensi

Dengan menekankan penyampaian bantuan, seperti hospital lapangan Malaysia dan 15 tan bekalan bantuan, Anwar berusaha mencipta ruang neutral untuk dialog, dan dengan ini, membuka laluan yang lebih mudah untuk mencapai persamaan dalam konflik tersebut.

Ini kekal sebagai langkah bijak dalam mencari perspektif baharu untuk melibatkan kedua-dua pihak.

Malaysia meletakkan dirinya sebagai perantara neutral. Ini berbeza dengan keengganan ASEAN secara umum untuk mengiktiraf NUG secara rasmi dan mencerminkan kesediaan Malaysia untuk melangkaui prinsip tidak campur tangan.

Malaysia menyedari keperluan mendesak dan kepentingan strategik keanggotaan berterusan Myanmar dalam ASEAN.

Konflik ini telah berlarutan terlalu lama, sebahagiannya akibat pendekatan ASEAN yang degil dan ketinggalan zaman; justeru, keperluan untuk berubah dan merebut peluang.

Strategi konvensional berpaksikan 5PC namun ini tidak membawa perubahan nyata di lapangan.

Langkah baharu untuk melibatkan kedua-dua pihak seharusnya menjadi asas baharu untuk ASEAN beranjak daripada pendekatan dan ikatan kepompong lama, berikutan keputusan sejak 2021 untuk mengecualikan pemimpin junta daripada mesyuarat peringkat tinggi ASEAN kerana ketidakpatuhan mereka terhadap 5PC.

5PC perlu diubah daripada pendekatan berbentuk ganjaran dan hukuman, kepada sesuatu yang lebih realistik dan memenuhi keperluan serta kebimbangan kedua-dua pihak.

Sebelum ini, kegagalan 5PC telah mendorong negara-negara jiran yang terkesan, terutamanya Thailand, untuk mempunyai pandangan dan gerakan tersendiri dalam pengurusan konflik, sebahagiannya kerana kegagalan ASEAN.

Malaysia kini bekerjasama rapat dengan Thailand, memanfaatkan peranan Bangkok dan melibatkan mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang telah menjalankan diplomasi saluran belakang mengenai Myanmar.

Kejayaan diplomatik ini menempatkan semula Malaysia dalam dinamika dalaman ASEAN terutamanya memandangkan kepimpinan Indonesia sebelumnya gagal mencapai haluan baharu dan persepsi tentang keterbatasan blok itu dalam menyelesaikan krisis Myanmar.

Kedekatan sempadan Thailand dan hubungan ekonominya dengan Myanmar menjadikannya rakan kongsi penting, dan Malaysia bijak dalam membezakan keperluan, kebimbangan dan konteks unik yang dihadapi oleh pemain ASEAN berbeza.

Kesatuan ASEAN dalam isu ini terjejas, dengan negara seperti Malaysia dan Indonesia mendesak tindakan lebih tegas, sementara negara lain, seperti Thailand, mengekalkan hubungan ekonomi dengan junta.

Ini mengehadkan keupayaan Malaysia untuk menguatkuasakan 5PC, dan inilah sebabnya penyelesaian yang lebih pragmatik, praktikal dan realistik mesti dilaksanakan selain daripada 5PC.

Dengan melibatkan Thailand dalam peranan lebih mendalam, ini adalah pendekatan praktikal untuk mendapatkan penyelesaian realistik dari segi geografi dan teknikal.

Bukannya terikat dengan konsensus ASEAN yang terhad oleh perpecahan antara negara kepulauan dan benua serta perbezaan kepentingan negara.

Dengan menggunakan pelanjutan gencatan senjata, Malaysia boleh mengetengahkannya sebagai peluang berisiko rendah untuk menguji kerjasama, dengan menarik minat pragmatik dalam menstabilkan Myanmar bagi mengelak kesan limpahan seperti aliran pelarian dan penyeludupan dadah, yang membimbangkan Malaysia dan Thailand.

Walaupun ASEAN telah menghalang pemimpin junta daripada menghadiri sidang kemuncak, pendekatan baharu Malaysia boleh membuka jalan untuk menyediakan faktor insentif kepada kedua-dua pihak dalam menunjukkan kesediaan kepada ASEAN untuk melibatkan diri dan berintegrasi semula.

Dengan menonjolkan sokongan ekonomi ASEAN, seperti penyelarasan bantuan, ini boleh dilihat sebagai langkah pertama dalam kemungkinan usaha masa depan untuk membuka peluang sokongan ekonomi kepada kedua-dua pihak.

Pendekatan Baharu kekal Penting dalam Penyelesaian Konflik

Sudah tiba masanya kedua-dua pihak perlu dilibatkan secara menyeluruh untuk memastikan 5PC mencapai kesan yang dimaksudkan.

Selama bertahun-tahun, 5PC tidak pernah mencapai potensinya akibat halangan konvensional yang menghalang pendekatan dan model baharu.

Keengganan kedua-dua pihak untuk berkompromi dan mengiktiraf titik persamaan bagi dialog, telah memburukkan lagi tindak balas berpecah belas dalam kalangan negara ASEAN.

Penolakan untuk mengiktiraf satu pihak berbanding yang lain, serta kewujudan sekatan dan langkah hukuman yang ketat, telah pun meletakkan prasyarat kepada kekangan masa depan dalam peluang untuk mengakhiri konflik ini.

Sebaliknya, Malaysia dalam peluang kepimpinan baharu ini perlu mengamalkan dan memulakan model penyelesaian konflik berasaskan akal budi dan konsep common sense approach, sepertimana Trump yang memulakan panggilan dan komunikasi bersejarah dengan Putin dalam usaha untuk merundingkan pengakhiran konflik Ukraine.

Dalam mana-mana konflik, kedua-dua pihak perlu dilibatkan, dan sebarang usaha untuk meningkatkan kapasiti pertahanan atau penglibatan dan komunikasi dengan satu pihak sahaja tidak akan berjaya.

Mengambil iktibar daripada pendekatan Trump, Malaysia mesti menjadi yang pertama di rantau ini untuk mengamalkan model common sense approach ini dalam kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN dan bersedia untuk beralih daripada 5PC serta melaksanakan kerangka baharu yang akan meningkatkan peranan bukan sahaja ASEAN tetapi, lebih penting lagi, peranan kuasa luar.

Dalam kes konflik Ukraine-Rusia, perangkap dan model pengurusan konflik konvensional itulah yang mengikat tangan Biden, dan perang yang berlarutan selama tiga tahun lalu tidak pernah melihat sebarang kemungkinan diselesaikan secara cara tidak ortodoks sehinggalah Trump campur tangan.

Beliau menyedari kelemahan perangkap model konvensional yang menolak untuk berunding dengan Rusia, dan beliau mempunyai keberanian serta pendekatan berasaskan akal budi untuk meloloskan diri daripada norma hubungan antarabangsa lama, dengan melibatkan kedua-dua pihak dalam usaha mendesak untuk menghentikan pembunuhan dan menyelamatkan nyawa.

Seperti kata Trump, anda tidak boleh menyelesaikan konflik dengan hanya melibatkan satu pihak sahaja.

Oleh itu, langkah baharu ini lebih baik dari segi keberkesanan dan potensi penerimaan jangka panjang berbanding entiti besar ASEAN yang dibatasi dengan langkah hukuman seperti 5PC dan kerangka usang ASEAN yang akan menghalang mana-mana pihak daripada melihat faktor penarik untuk meredakan ketegangan.

Pendekatan baharu Malaysia ini adalah sangat dinanti-nantikan. Jika status quo dikekalkan, maka tidak akan ada penghujungnya, dan 5PC akan tercatat dalam sejarah sebagai satu langkah sia-sia.

ASEAN mungkin tidak begitu bersetuju dengan cara Malaysia mengendalikan isu ini terutamanya dalam berurusan secara langsung dengan junta, tetapi langkah ini sudah terlalu lama tertangguh untuk memecahkan kebuntuan, dan bencana gempa bumi yang malang itu menyediakan peluang yang tepat untuk langkah baharu tersebut.

Pendekatan Baharu bagi Penyelesaian

Walaupun sesetengah pihak melihat NUG sebagai wakil demokrasi, ia kekurangan kuasa ketenteraan dan pengiktirafan diplomatik, yang menyukarkan peranannya dalam rundingan.

Junta pula telah dijauhi oleh hampir semua kuasa besar, dan dengan tindakan berterusan mereka yang melanggar hak dan norma, semakin berisiko menghadapi pengasingan lebih mendalam dengan tindakan hukuman balas.

Malaysia boleh menggunakan gabungan strategi diplomatik, moral dan praktikal yang disesuaikan dengan motivasi setiap pihak untuk membawa junta, NUG dan pihak berkepentingan lain ke meja rundingan.

Dengan menekankan keperluan mendesak rakyat Myanmar — 3.5 juta orang yang kehilangan tempat tinggal, kekurangan makanan dan risiko kesihatan dalam tempoh pascagempa bumi — Malaysia boleh menyelaraskan objektif ini dengan matlamat pro-demokrasi NUG, membentuk kerjasama gencatan senjata sebagai langkah ke arah kestabilan dan akhirnya kepada dialog politik.

Malaysia boleh meyakinkan NUG dengan menjamin penglibatan mereka dalam rundingan, menangani kegusaran mereka untuk diketepikan.

Cabaran terbesar adalah bagaimana menyasarkan junta melihat NUG dalam perspektif berbeza, dan sebaliknya, memperbetulkan pandangan junta bahawa NUG adalah berpecah-belah, lemah dan tidak teratur serta tidak berfaedah untuk diajak berunding.

Bagi NUG, pandangan terhadap legasi dan rekod junta juga boleh dilaraskan dalam merangsang jalan baharu untuk mengubah peranan junta kembali kepada pemisahan kuasa ketenteraan daripada kepimpinan langsung ini, berbanding pendekatan tiada kompromi yang diambil sebelum ini.

Junta memerlukan jaminan penglibatan ASEAN, manakala NUG memerlukan jaminan penyertaan politik. Pendekatan seimbang Malaysia dalam bertemu kedua-dua pihak secara berasingan boleh memudahkan perkara tersebut.

Sesetengah pihak telah berhujah untuk tekanan luaran lebih besar dalam bentuk sekatan sasaran dan embargo senjata terhadap junta, namun ini tidak membawa kepada perubahan ketara di lapangan.

Pulangan Jangka Panjang Pendekatan Berbeza

Kesediaan mengguna pakai pendekatan baharu dengan penglibatan semula di bawah kuasa neutral berbeza jika perlu, menjadi kritikal.

Ini termasuk peranan Washington dan Moscow sebagai pelengkap kepada rundingan, sejajar dengan rundingan berhubung konflik Ukraine, serta mewujudkan mekanisme empat hala bersama Washington-Delhi-Moscow-Beijing.

Ini untuk memberi insentif bersama dan tekanan kepada kedua-dua pihak yang bertelagah, dengan setiap kuasa mempunyai pengaruh tersendiri terhadap kedua-dua pihak berkenaan.

Sama ada menerusi pendekatan dua hala atau empat hala, ia boleh berfungsi sebagai penyelesaian yang tidak berpusatkan ASEAN semata-mata, memandangkan mekanisme yang diketuai ASEAN telah terbukti gagal sebelum ini.

Malaysia sebagai Pengerusi boleh menggunakan peluang ini untuk mendorong penglibatan strategik kuasa luar, serta mempelbagai peranan langsung ASEAN sepenuhnya.

Ini memandangkan ASEAN juga kekurangan kuasa cegah rintang dan langkah hukuman yang diperlukan untuk campur tangan dan mengubah hasil, selain dasar tidak campur tangan yang telah lama menghalang keberkesanan ASEAN.

ASEAN lebih mengambil berat tentang kesan rantaian negatif akibat konflik dalam pelbagai bentuk, berbanding mempunyai kapasiti bersatu yang diperlukan untuk menyelesaikannya.

Oleh itu, sudah tiba masanya Malaysia membentuk mekanisme luar untuk memainkan peranan baharu.

Walaupun pelanjutan gencatan senjata boleh dicapai dalam jangka pendek, ketidakpercayaan mendalam dan sikap tidak bertolak ansur junta mengehadkan prospek kerjasama berkekalan tanpa penglibatan antarabangsa yang lebih kukuh.

Usaha Malaysia ini menguji kerelevanan ASEAN dan keupayaannya untuk bergerak dari prinsip “tidak campur tangan” kepada campur tangan berkesan dalam krisis salah satu negara anggotanya.

Walau bagaimanapun, biarpun terdapat perubahan dalam pendekatan ASEAN terhadap tidak campur tangan, ia tetap kekurangan kapasiti untuk memberikan insentif atau tekanan kepada mana-mana pihak untuk mematuhi pendirian yang ditetapkan.

Oleh itu, Malaysia mesti mengambil tampuk hala tuju pimpinan baharu dan berani untuk bertindak sebagai pelopor langkah baharu ke arah penyelesaian kemelut ini.


Penulis adalah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan