UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalinkan kerjasama dengan Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Singapore University of Social Sciences (SUSS) dalam bidang ekonomi penjagaan.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, perjanjian persefahaman antara UPSI dengan IDR dan SUSS itu sebagai langkah awal dalam menangani keperluan penduduk warga emas yang semakin meningkat di Perak.
“Berdasarkan dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia, 14.6 peratus penduduk Perak berusia 60 tahun ke atas pada 2023.
“Melihat kepada trend penuaan ini, UPSI mengambil langkah menerusi kerjasama ini dalam aspek pendidikan, penyelidikan dan latihan dalam bidang ekonomi penjagaan,” katanya baru-baru ini.
Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) melibatkan ketiga-tiga pihak disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Tanjung Malim.
Md Amin berkata, melalui kerjasama strategik itu, UPSI dan rakan kolaboratifnya merancang membangunkan Living Lab dan resort persaraan di beberapa lokasi strategik termasuk di Ipoh dan Muallim.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha UPSI menyokong agenda negeri dalam membina masyarakat penyayang dan sistem sokongan bersepadu untuk warga emas yang semakin meningkat,” tambah beliau.
Sebelum itu, Sultan Nazrin turut berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Gerbang Suria serta Sambutan Hari Raya Aidilfitri UPSI.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamed.
Gerbang Suria UPSI merupakan mercu tanda baharu yang bukan sahaja melambangkan keupayaan teknikal dan inovasi hijau UPSI, malah mencerminkan kesungguhan institusi dalam menerajui kelestarian kampus dan negeri.
“Inisiatif Gerbang Suria ini terhasil dari inspirasi titah-titahTuanku yang sering menekankan kepentingan kelestarian alam sekitar.
“Ia dibangunkan berkonsepkan zero capex dan mampu menjimatkan sehingga RM2 juta setahun bagi bil elektrik serta RM500,000 kos penyewaan khemah acara.
Jelasnya dewan solar seluas 12,500 kaki persegi itu mampu menjana pendapatan RM350,000 setahun melalui sewaan, dan pada masa sama menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 2,800 tan setahun.
“Gerbang Suria bukan hanya ruang fizikal, tetapi simbol komitmen UPSI terhadap pembangunan mampan dan aspirasi negeri untuk menjadi contoh bandar rendah karbon,” katanya. – Edisi 9

