Tuesday, July 21, 2026

Isyarat besar kepercayaan rakyat terhadap prestasi UMNO

Jelas segala fitnah dan hasutan pihak lawan semakin tidak diterima oleh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan khususnya para pengundi di Ayer Kuning.

Mesti Baca

KEMENANGAN calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Tapah merupakan isyarat besar kepercayaan rakyat terhadap prestasi UMNO dalam kerajaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kemenangan BN itu juga menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kekukuhan kerjasama antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, jelas segala fitnah dan hasutan pihak lawan semakin tidak diterima oleh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan khususnya para pengundi di Ayer Kuning.

“Malah kejayaan BN merampas tiga PDM (Kg. Batu Masjid, Kg. Batu Tiga, Changkat Petai) yang sebelum ini dimenangi PN menunjukkan pembohongan mereka telah ditolak rakyat sedikit demi sedikit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Benarlah kata pepatah Arab “كُلُّ بَيْتٍ قَامَ بِالْكَذِبِ انْهَدَمَ.”

‘Setiap rumah yang dibangunkan dengan pembohongan akan runtuh dengan sendiri..’

“Maka saya menyeru sahabat-sahabat untuk kekal istiqamah. Di kala pihak lawan memberi cercaan, kita teguh menawarkan jasa kepada rakyat.

“Di saat pihak lawan melempar fitnah tohmahan, kita menonjolkan budi pekerti anjuran syariat.

“Rakyat sudah tentu lebih bijak menilai yang mana ikhlas berkhidmat dan yang mana pula sekadar berjanji hikayat,” katanya dalam kenyataan sejurus keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diumumkan malam tadi.

Dalam PRK DUN Ayer Kuning semalam, Mohamad Yusri memperoleh 11,065 mengatasi Abdul Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dengan 6,059 undi serta Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia mendapat 1,106 dengan majoriti 5,006 undi.

Sementara itu, Asyraf Wajdi menasihati Mohamad Yusri agar bersabar dalam mengisi kemenangan tersebut.

“Jangan lalai dengan nikmat yang dikecapi. Tunaikan janji, teguhkan khidmat bakti. Kerana amanah yang dipikul ini, akan ditimbang oleh Rabbul Izzati,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan