MALAYSIA telah diiktiraf antara lima negara utama paling aktif dalam program wakaf al-Quran global, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, dianggarkan lebih 500,000 naskhah al-Quran telah diwakafkan oleh pelbagai institusi dan organisasi di Malaysia.
Sehubungan itu, beliau yakin dengan kerjasama erat dan sokongan agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta, Malaysia mampu melonjakkan izzah al-Quran ke seluruh pelosok dunia.
“Saya memuji sinergi yang diwujudkan antara Yayasan Restu dan Yayasan PINTA yang bertindak aktif dalam memperkasakan wakaf al-Quran di dalam negara, malah turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan menyebarkan al-Quran di peringkat global,” kata beliau.
Beliau sebelum itu menghadiri majlis pelancaran Program Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan sempena Festival Seni al-Quran Antarabangsa (REQAF) 2025 di Shah Alam, malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Zahid berkata, wakaf al-Quran merupakan salah satu mekanisme yang penting di dalam penyebaran dakwah Islam.
Katanya, di Malaysia, wakaf al-Quran telah bermula sejak tahun 2007 dengan matlamat utama untuk menyebarkan al-Quran kepada masyarakat yang kurang berkemampuan.
Sementara itu, Zahid berkata, sebagai sebuah negara Islam yang progresif, Malaysia berpotensi besar untuk menjadi pusat percetakan dan pengedaran al-Quran terbesar di rantau ASEAN.
“Dengan adanya Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya, Malaysia telah memiliki fasiliti yang bertaraf antarabangsa dan mampu mencetak jutaan naskhah al-Quran setiap tahun.
“Justeru, marilah kita bersama-sama menjayakan misi ini, dengan tekad dan kesungguhan, kita mampu menjadikan Malaysia sebagai negara contoh dalam memperkukuh institusi wakaf dan pendidikan Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata lebih RM50 juta diperuntukkan setiap tahun untuk program wakaf pendidikan Islam termasuk wakaf al-Quran oleh kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan MAIN.
Di samping itu, beliau turut memuji langkah Yayasan Restu memperkenalkan sistem pembayaran wakaf al-Quran secara elektronik yang disifatkan beliau sebagai contoh inovasi digital yang amat baik dalam memudahkan dan memperluas jangkauan amalan berwakaf. – Edisi 9