KEPENGERUSIAN ASEAN yang diletakkan di bahu Malaysia bagi tahun ini menjadi ‘watak’ penting dan bakal membawa cabaran yang amat besar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelepasan rasmi baton kepengerusian ASEAN daripada Laos kepada Malaysia telah berlangsung pada 14 Oktober 2024, menandakan kali kelima negara memimpin blok serantau selepas 1985, 1995, 2005, dan 2015.
Penganalisis hubungan antarabangsa, Prof Phar Kim Beng menyifatkan kepimpinan Anwar dalam ASEAN 2025 sebagai tempoh kritikal bagi menentukan hala tuju organisasi itu
“Anwar perlu memastikan ASEAN bukan sahaja kekal relevan tetapi lebih dinamik dalam menangani cabaran global,” katanya yang juga pensyarah Pengajian Antarabangsa dan ASEAN, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin yang pernah melalui pelbagai cabaran politik, Anwar dijangka membawa pendekatan progresif dalam pentadbiran ASEAN.

Katanya, Anwar dijangka memanfaatkan persidangan besar seperti ASEAN-GCC Summit yang dijadualkan pada April atau Mei 2025 untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara Teluk.
“Kerjasama antara ASEAN dan GCC sudah lama dibincangkan sejak 2009. Anwar mempunyai peluang untuk memastikan ia menjadi realiti dengan manfaat ekonomi yang mampan,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteru juga telah menyuarakan kepentingan memperkukuhkan proses ASEAN +3 bersama China, Jepun, dan Korea Selatan.
Menurut beliau, hubungan erat dengan kuasa ekonomi utama Asia Timur akan membantu ASEAN berkembang sebagai blok ekonomi yang lebih mantap dan strategik.
Katanya, menjelang tahun 2035, ASEAN dijangka berkembang menjadi blok ekonomi dengan lebih 1 bilion penduduk.
“Oleh itu, Anwar perlu memastikan pembangunan sumber manusia dan keterhubungan institusi antara negara anggota berjalan lancar.
“Malaysia juga perlu memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi digital dengan pemerkasaan kecerdasan buatan (AI), automasi, dan teknologi baharu,” kata Kim Beng.
Bagi sektor keselamatan serantau, beliau berkata, Malaysia turut berperanan dalam menguruskan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) pada Oktober 2025 serta Forum Serantau ASEAN (ARF) dan Sidang Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) pada pertengahan tahun.
Katanya, Anwar dijangka menggunakan pendekatan diplomasi pelbagai lapisan Track 1, Track 1.5, Track 2 dan Track 3 yang melibatkan kerajaan, badan pemikir dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memastikan ASEAN terus berkembang dan kekal relevan di pentas antarabangsa.
“Dengan pelbagai persidangan utama yang bakal berlangsung sepanjang tahun 2025, Malaysia berdepan ujian besar untuk membuktikan keupayaannya sebagai pemimpin ASEAN yang berkesan.
“Bagi Anwar, ini bukan sekadar peranan diplomasi serantau, tetapi juga peluang untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam ekonomi dan politik global,” katanya. – Edisi 9