BARISAN Nasional (BN) bukan sekadar memainkan peranan penting tetapi juga merupakan tunjang perpaduan sehingga Kerajaan Perpaduan dapat bertahan selama 25 bulan sertakat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, kejayaan tersebut bukanlah jaminan bahawa “esok akan lebih sempurna.”
“Cabaran sebenar adalah bagaimana kita terus melangkah, memberikan nikmat buat rakyat dalam bulan-bulan mendatang,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Semalam Zahid yang juga Pengerusi BN mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan ADUN BN di Kuala Lumpur, malam tadi.
Beliau berkata, pre-council yang diadakan itu bagi memperkukuhkan kesatuan serta hala tuju pada sidang Parlimen kali ini.
Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 disempurnakan oleh Yang di-Pertuab Agong, Sultan Ibrahim semalam.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, dengan kesepakatan jitu dan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur BN akan terus mara sebagai gabungan yang kukuh, relevan dan sentiasa mendahulukan rakyat serta negara. – Edisi 9